GVF 2023: ALIFE Kesal Aksi Biadap The 1975, Bakal Cari Mekanisme Terbaik Untuk ‘Refund’ Tiket Pembeli

Share

Susulan kontroversi hangat yang membabitkan band pop rock The 1975 baru-baru ini, Pengarah Hiburan Future Sound Asia, Wan Alman Ariffin tampil menjelaskan, pihaknya telah pun berusaha untuk menghentikan persembahan tersebut lebih awal semasa insiden berkenaan berlaku.

Bagaimanapun kedegilan pengurus jelajah kumpulan sensasi itu mengakibatkan keadaan pada ketika itu menjadi lebih buruk.

“Keputusan menghentikan persembahan bukanlah satu perkara yang mudah. Kami tidak mahu ambil keputusan sembarangan.

“Banyak perkara perlu diteliti kerana acara berkenaan membabitkan ramai artis dan peminat.

“Kami minta pengurus jelajah The 1975 untuk hentikan persembahan, namun seperti keberatan untuk berbuat demikian.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Acara Dibatalkan Hanya Kerana Anda!’ -Sheila Majid Selar Sikap Biadap The 1975

“Disebabkan itu, kami terus minta bantuan pihak berkuasa dan mengambil masa beberapa minit untuk menghentikan persembahan berkenaan,” katanya pada sidang media pembatalan Good Vibes Festival 2023.

Pada masa sama, Wan Alman turut memaklumkan bahawa pihaknya masih lagi dalam usaha mencari mekanisme yang sesuai bagi membuat pembayaran semula tiket pembeli.

Mengulas lanjut, Persatuan Penggiat Festival Antarabangsa (ALIFE), Para Rajagopal mengakui, insiden berkenaan mengejutkan ramai pihak, namun ia tidak menghalang industri muzik tanah air untuk terus berjalan seperti biasa.

Selain itu, beliau juga berharap tiada lagi aksi dan kenyataan biadap oleh artis antarabangsa berulang seperti dilakukan oleh kumpulan The 1975, pada malam Good Vibe Festival 2023, pada minggu lalu.

“Saya rasa apa yang dilakukan The 1975 ketika Good Vibes Festival 2023 adalah satu kes atau isu terpencil. Kita semua bersetuju bahawa perkara itu salah. Sepanjang 30 tahun saya terbabit dalam industri ini, saya tidak pernah lihat hal seperti itu berlaku.

“Kalau kita lihat, beberapa bulan lalu ramai artis antarabangsa yang datang, tetapi tiada siapa yang berperilaku buruk seperti itu. Boleh dikatakan, semuanya berjalan dalam keadaan baik.

“Jadi, untuk isu ini kita semua perlu terus melangkah ke hadapan dan industri hiburan perlu terus berjalan seperti biasa. Kita perlu beralih daripada 1975 ke 2023,” jelasnya.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengarahkan pembatalan serta merta penganjuran Festival Good Vibes 2023 dengan serta merta.

Ini susulan tindakan vokalis The 1975, Matty Healy berkucupan dengan pemain gitar bes, Ross MacDonalds selepas melontarkan ucapan mempertikaikan undang-undang lesbian, gay, biseksual transgender dan pelik (LGBTQ) di Malaysia.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja

untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.


Published by
Fath