Penganjur Festival Good Vibes (GVF) 2023, Future Sound Asia (FSA) Mengeluarkan surat tuntutan kepada kumpulan pop rock kontroversi, The 1975 agar bertanggungjawab dan membayar ganti rugi berikutan pembatalan acara berkenaan baru-baru ini.
FSA dalam satu kenyataan berkata, pihaknya juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap band tersebut di mahkamah England sekiranya mereka gagal memenuhi tuntutan berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: GVF 2023: ALIFE Kesal Aksi Biadap The 1975, Bakal Cari Mekanisme Terbaik Untuk ‘Refund’ Tiket Pembeli
“Pihak kami menyelar kelakuan kumpulan itu ketika persembahan mereka di GVF2023 khususnya penyanyi, Matthew Timothy Healy yang menggunakan bahasa kasar, merosakkan peralatan dan menunjukkan perilaku tidak beradab.
“Itu bukan sahaja secara terang-terangan melanggar garis panduan tempatan dan undang-undang Malaysia, bahkan mencalar reputasi festival yang sudah 10 tahun diadakan,” katanya.
Difahamkan, surat tuntutan yang diajukan telah berada di tangan The 1975 dan FSA kini sedang menunggu jawapan mereka.
Penganjur terbabit juga menegaskan band dari United Kingdom itu turut dilihat sengaja berniat melanggar perjanjian yang dipersetujui secara bersama dengan pihaknya.
“Pelanggaran itu mengakibatkan pembatalan festival sehingga membawa kerugian kewangan buat FSA, memberi impak negatif terhadap artis tempatan dan menjejaskan perniagaan yang bergantung kepada kejayaan festival.
“Ramai rakyat Malaysia turut terkesan dengan pembatalan festival ini,” katanya lagi dalam kenyataan sama.
Menerusi kenyataan sama, FSA turut menzahirkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan peminat dan pihak berkuasa sejak sekian lama.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengarahkan pembatalan serta merta penganjuran Festival Good Vibes 2023 dengan serta merta.
Ini susulan tindakan vokalis The 1975, Matty Healy berkucupan dengan pemain gitar bes, Ross MacDonalds selepas melontarkan ucapan mempertikaikan undang-undang lesbian, gay, biseksual transgender dan pelik (LGBTQ) di Malaysia.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.