GVF 2023: ‘Full Refund’ Atau Derma Kepada Penganjur, Ini Pula Reaksi Pembeli Tiket

Share

Susulan kontroversi hangat yang membabitkan band pop rock The 1975 bulan lepas, pihak penganjur Good Vibes Festival tampil membuat kenyataan rasmi mengenai proses bayaran balik (refund) kepada para pembeli menerusi laman media sosial mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: GVF 2023: FSA ‘Layangkan’ Surat Tuntutan Buat The 1975

“Kami amat sedih dengan apa yang berlaku dan sedia maklum bahawa adalah penting untuk kami menerangkan prosedur bayaran balik untuk membantu mengimbangi kos kerugian yang telah dihadapi oleh anda semua,

“Prosedur ini tidak sempurna, dan mungkin tidak dapat memuaskan hati semua orang sepenuhnya, tetapi kami harap anda memahami bahawa kami cuba memberi pampasan yang adil kepada pemegang tiket sebaik mungkin,” jelas pihak The Future Sound Asia.

Menurut kenyataan tersebut, pembeli tiket GVF 2023 mempunyai empat pilihan prosedur bayaran balik:

  1. Hanya sebahagian bayaran balik diterima manakala bakinya disumbangkan kepada #SaveGVF
  2. Tukar tiket #GVF2023 kepada tiket #GVF2024 atau #GVF2025 (termasuk sekali dengan baucar minuman RM100)
  3. Sumbang kesemua jumlah amaun bayaran balik penuh kepada #SaveGVF
  4. Bayaran balik tiket #GVF2023 sepenuhnya dipulangkan kepada anda

#SaveGVF merupakan plan inisiatif yang dibina oleh pihak penganjur bertujuan untuk memberi peluang kepada para pembeli yang ingin menyokong mereka dalam menghidupkan kembali festival tersebut di masa akan datang.

“Semasa anda memilih pilihan bayaran balik anda, ingin kami ingatkan bahawa pihak kami sentiasa komited untuk menganjurkan festival musik Malaysia dengan harapan ianya akan membawa kegembiraan kepada anda juga; kami mahu GVF terus hidup.

“Jika anda boleh menyumbangkan atau menangguhkan sebarang jumlah bayaran balik, ianya amat dihargai dan membantu dalam misi #SaveGVF,” komen pihak penganjur.

Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan bayaran balik (refund) masing-masing, boleh melawat laman web The Good Vibes Festival. 

Tempoh penyerahan bayaran balik adalah dari 14 Ogos 2023 hingga 10 September 2023.

Menjenguk ke ruangan komen hantaran tersebut, terdapat pelbagai reaksi dan komen dilemparkan oleh warganet kepada pihak penganjur.

“Kami tidak bersalah dalam hal ini. Kami bayar tiket, caj perkhidmatan, hotel, parking dan sebagainya. Kami terpaksa bayar RM10 untuk sebotol air mineral 500ml kerana pihak anda periksa beg kami jika membawanya dari rumah! We all behave and follow your T&C. Sekarang kenapa nak minta simpati dari kami pula?” komen seorang pembeli.

“Maaf, saya memerlukan bayaran balik penuh. Bosan dengan drama dan perniagaan tamak anda.” keluh pembeli lain.

“Mengapa anda perlu menyerang penganjur? Tiada sesiapa yang memaksa anda untuk membantu jika anda tidak mahu!” sokong warganet lain.

BACA LAGI: Berjaya Buat David Foster ‘Annoyed’ Lalu Turun Pentas, Sissy Iman Hulur Albumnya Sebagai Tanda Minta Maaf

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

KREDIT FOTO: Instagram The Good Vibes Festival

 

 

Published by
Adriana Syaurah