Ada segelintir remaja yang baru nak melanjutkan pelajaran di usia 19 tahun, tetapi gadis ini sudah hampir mengenggam segulung ijazah lulusan Bachelor of Medicine, Bachelor of Surgery (MBBS) daripada sebuah universiti tempatan.
Chan Hao Shan akan menamatkan pelajarannya pada tahun depan dan bakal bergelar seorang doktor paling muda di Malaysia.
Menurut temubual yang dibuat oleh portal akhbar Cina Sinchew, gadis bijak ini mendedahkan bahawa apa yang membezakannya dengan remaja-remaja lain adalah kerana sejak kecil lagi dia sudah mula gemar membaca, ditambah pula dengan kemudahan perpustakaan yang ada di rumah.
Terlajak bijak
Prestasi akademik yang sangat luar biasa di usia muda menjadi tanda tanya apakah rahsia yang sebenarnya dilakukan oleh kedua ibubapanya dalam mendidik anak menjadi bijak.
Ibunya berkata, dia tidak melakukan apa-apa yang luar biasa semasa membesarkan Chan, cuma diakui bahawa gadis pintar ini memang minat membaca sedari kecil dan dia mempunyai special interest terhadap bahan rujukan sains dan organisma kehidupan.
Seawal usia lapan tahun, ibunya yang merupakan seorang akauntan telah didiagnos menghidap kanser payudara dan pada ketika itu perasaan ingin tahu gadis ini tentang fungsi-fungsi tubuh manusia semakin membuak-buak.
Kejayaan luar biasa
Oleh kerana kebijaksanaan luar biasa mengatasi rakan-rakan seusia yang lain, sekolah biasa dilihat tidak sesuai dengannya. Chan mampu menghabiskan silibus dengan cepat, jauh meninggalkan rakan sekelas yang lain.
Dek kerana ini, ibubapanya telah menghantar Chan ke Sekolah Antarabangsa (International School). Dia hanya mengambil masa selama dua bulan untuk menghabiskan silibus Tingkatan 1 dan 2, dan dua bulan lagi dihabiskan untuk silibus Tingkatan 3 dan O Level.
Seusia 13 tahun, dia sudah melengkapkan semua silibus sekolah menengah dalam masa SATU TAHUN, yang kebiasaanya kita menghabiskannya dalam tempoh lima tahun.
Wow, gila gempak.
Melihat kepada keistimewaan yang dimiliki oleh gadis ini, salah seorang gurunya telah mencadangkan untuk Chan melangkau beberapa tahun tahap pelajaran kerana dia merupakan seorang super-fast learner.
Di usia 14 tahun juga, dia sudah menamatkan program Australian Matriculation (AUSMAT) disalah sebuah kolej swasta dalam masa setahun, di mana Chan juga menjadi pelajar termuda yang menghabiskan pelajarannya pada ketika itu.
Walau bagaimanapun, jurusan MBBS yang diambilnya sekarang bukanlah mudah dan dia juga menghadapi tekanan dalam menghabiskan program seperti rakan-rakan yang lain.
Dia sekarang sedang mencari housemanship (sesi praktikal untuk pelajar perubatan) dan dijangka menamatkan pelajaran pada tahun depan, sekali gus bakal menjadi doktor paling muda di Malaysia.
Tahniah REMAJA ucapkan buat Chan Hao Shan dan kejayaan y ang diperolehnya ini jelas menunjukkan bahawa segalanya tidak mustahil jika kita rajin berusaha dan belajar bersungguh-sungguh.
So guys, harap-harap korang juga terinspirasi daripada kisah gadis ini k?