Bagi kebanyakan mualaf, memeluk agama Islam, walaupun indah, mereka selalunya akan mendapat tentangan yang hebat daripada kalangan keluarga lebih-lebih lagi dari kedua-dua orang tua
Bahkan kebanyakan mualaf akan dipandang hina dan dibenci oleh ahli keluarga berikutan keputusan untuk meninggalkan agama asalnya.
Baru-baru ini, perkongsian seorang remaja lelaki berbangsa Iban mengenai kisahnya yang memeluk Islam telah menarik perhatian ramai terutamanya di laman media sosial.
Setelah mendapat hidayah, lelaki bernama Ambros Jos Anak Shylevester Lingchai atau nama Islamnya Muhammad Nur Imran Abdullah memeluk Islam pada 15 Januari yang lalu.
Menurut pemuda berusia 24 tahun itu, dia akan ke Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini bagi mendaftarkan nama baharunya.
Menerusi posting berkenaan, dia meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada yang sudi menyokong kerana baginya, dia tidak akan sampai ke tahap itu tanpa ada sokongan mereka.
Tweet tersebut menerima pelbagai reaksi netizen yang kebanyakannya memberi kata-kata nasihat dan berharap agar pemuda berkenaan terus beristiqamah.
Alhamdulillah bertambah seorang lagi umat Islam. Moga Muhammad Nur Imran terus istiqomah dan menjadi muslim yang berjaya didunia dan akhirat.