Ramai anak-anak semasa mak ayah masih hidup akan berusaha membahagiakan mereka. Ada pelbagai cara termasuk membawa mak ayah keluar makan bersama. Bercuti ke luar negara. Malah ada anak-anak yang berpakat membelikan rumah dan juga kereta untuk kegunaan mak ayah semasa hidup.
Di sebalik semua pemberian itu, ada sesuatu yang harus anak fahami. Ianya sangat penting agar kita tidak tersilap perkiraan di akhirat kelak. Apa saja yang anak-anak berikan pada mak ayah seperti kereta, rumah dan sebagainya, bila mak ayah tak ada (meninggal dunia), harta itu perlu difaraidkan kepada adik beradik ya. Ia bukan lagi hak kita walau kita mengeluarkan wang untuk membelinya sebaliknya sudah dikira harta peninggalan mak ayah yang harus difaraidkan sesama adik beradik.
Bagi yang kurang jelas, korang bacalah penjelasan dari Ustaz Azhar Idrus mengenai hal ini.
HARTA SIMATI PEMBERIAN ANAK-ANAK
Soalan :
Salah seorang anak perempuan telah menghadiahkan kepada ibunya sebuah kereta yang bernilai hampir RM50,000. Setelah ibu meninggal dunia adakah anak perempuannya boleh mengambil semula kereta tersebut?
JAWAPAN :
Apabila seorang telah meninggal dunia maka semua harta yang dimilikinya sewaktu hidup adalah harta peninggalan yang akan dibahagi kepada segala waris menurut faraidh sama ada harta itu adalah pembelian oleh si mati sendiri atau pun dihadiahkan oleh anak-anaknya.
Jadi dalam masalah ini kereta yang dihadiahkan oleh anak perempuannya itu telah menjadi milik si mati dan selepas kematiannya maka harta itu menjadi hak segala waris untuk dibahagikan dan tidak boleh anak perempuan tersebut mengambil kereta itu kerana bukan lagi menjadi haknya.
Begitu juga segala harta benda yang telah diberikan kepada si mati ketika hidup adalah menjadi harta peninggalan samada oleh anak-anaknya atau oleh orang yang lain dan samada harta itu kenderaan atau rumah atau tanah atau emas perhiasan atau lainnya.
Tersebut pada Fatwa Negeri Mesir :
من المقرَّر شرعًا أنَّ جميع متعلقات المتوفاة الشخصية -سواء أكانت ذهبًا أُهدي إليها من أولادها أو من غيرهم أم غير ذلك- ملكٌ لها وتركةٌ عنها تقسم على ورثتها الشرعيين كل حسب نصيبه. : دار الإفتاء المصرية
Artinya : “Setengah dari perkara yang telah tetap di sisi syarak bahawa sekelian harta benda si mati samada emas yang dihadiahkan kepadanya daripada anak-anaknya atau selain anak-anaknya atau harta yang selainnya adalah menjadi milik bagi si mati dan sebagai harta peninggalan daripada si mati yang akan dibahagikan atas segala warisnya menurut hukum syarak akan bahagian masing-masing.” (Darul Ifta Mesir)
VIRAL KISAH ADIK BERADIK
BACA SINI: Gadis Cantik Ini Meninggal Ketika Baca Al-Quran, 2 Lagi Adik Beradiknya Meninggal Tengah Solat
LAGI : 3 Beradik Lemas Di Muara Sungai Telemong, Seorang Darinya Baru Tamat Hafazan 30 Juz Al-Quran
KESIMPULAN
Segala harta yang dimiliki oleh seorang ketika hidup akan menjadi harta peninggalan selepas dia mati.
Harta peninggalan adalah hak segala waris bagi si mati dan masing-masing akan mendapat bahagiannya menurut pembahagian faraidh.
Anak tidak boleh mengambil semula harta yang telah diberikan kepada ibu bapa sebagaimana tidak boleh orang yang lain mengambil semula hadiah yang telah diberikan kepada seseorang selepas kematiannya.
wallahua’lam
ustaz azhar idrus