Hari ini 1 Rejab dan ramai yang mengambil kesempatan berpuasa di permulaan awal bulan islam ini. Bagaikan sudah menjadi trend, setiap kali tibanya awal bulan Islam seperti Rejab dan Syaaban, mulalah di grup Whatsapp bertebaran fadilat-fadilat yang perlu diambil peluang oleh umat Islam kerana banyak kebaikkannya..
Banyak fadilat-fadilat dinyatakan mengikut hadis dinyatakan di mana sebagai hambaNya kita merasakan sudah berkongsi kebaikan dengan insan lain.
Tapi benarkah hadis yang kita sebarkan itu? Adakah ianya hadis sahih? Baca penerangan dari Mufti Wilayah Persekutuan, Sohibus Sahamah, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri mengenai penyebaran hadis seperti dinyatakan dalam laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Semoga pencerahan ini mampu buat kita lebih berhati-hati sebelum menyebarkan hadis palsu sebenarnya.
Dalam satu status pertanyaan dari seorang individu mengenai hadis di bawah.
Apakah status hadith ini?
Maksudnya: “Barangsiapa yang memberitahu akan kemasukan bulan (1 Rejab) yang mulia ini kepada orang lain, maka haram baginya api neraka.”
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Setiap kali kemasukan awal bulan Islam, maka akan tersebar hadith-hadith yang menceritakan akan kelebihan bulan-bulan tersebut. Bersempena dengan kemasukan awal bulan Rejab yang mulia ini, maka Irsyad al-Hadith pada kali ini akan menjelaskan berkaitan status hadith di atas, yang mana ia sentiasa disebut atau disebarkan oleh sebahagian masyarakat kita pada hari ini.
Bulan Rejab merupakan salah satu bulan yang mulia dan ia termasuk di dalam bulan-bulan Haram sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW. Tambahan pula, Allah SWT juga berfirman berkaitan bulan Haram ini di dalam surah al-Taubah:
Maksudnya: “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa”.
Di antara kelebihan yang terdapat di dalam bulan Haram ini ada disebutkan oleh al-Hafiz Ibn Kathir di dalam tafsirnya, yang mana beliau telah menukilkan pendapat daripada Ibn Abbas RA yang menyatakan bahawa setiap kezaliman yang dilakukan di dalam bulan-bulan Haram ini, dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan yang lain. Begitu juga, amal soleh yang dilakukan di dalam bulan Haram ini adalah lebih besar (pahala) berbanding bulan-bulan yang lain. [Tafsir Ibn Kathir, 4:130]
Berdasarkan soalan di atas, hadith di atas adalah palsu dan tidak diketahui asalnya daripada kitab-kitab hadith yang muktabar. Ini merupakan salah satu pendustaan yang direka dan disandarkan di atas nama Nabi SAW. Bahkan, hadith ini juga turut digunakan pada bulan-bulan Islam yang lain seperti Zulhijjah, Sya’ban, Ramadhan, Muharram dan sebagainya.
Kesemua hadith yang menceritakan tentang kelebihan memberitahu akan kemasukan awal bulan-bulan Islam ini adalah palsu. Justeru itu, penyebaran hadith ini perlu dihentikan dengan serta-merta sama ada melalui meja-meja penceramah dan juga media sosial serta ia tidak boleh lagi disebarkan melainkan untuk menyatakan akan kepalsuannya.
Hukum Meriwayatkan Hadith Palsu
Para ulama menyatakan bahawa tidak dibolehkan atau haram bagi kita meriwayatkan hadith palsu apabila diketahui akan keadaannya (palsu) melainkan bagi menjelaskan akan kepalsuannya. Ini merupakan pendapat Imam Ibn Salah, Imam al-Nawawi, al-Suyuthi dan ramai lagi termasuk ulama-ulama hadith masa kini. Hukum ini terbina berdasarkan kepada hadith-hadith yang menceritakan berkaitan larangan keras Rasulullah SAW terhadap pendustaan di atas nama Baginda SAW. Antara hadith tersebut adalah seperti berikut:
Tanggungjawab Dan Peranan Kita
Sebagai seorang mukmin yang cinta kepada Rasulullah SAW seharusnya bagi kita menjaga nama dan diri Rasulullah SAW daripada dicemari dengan pendustaan dan pemalsuan golongan yang tidak bertanggungjawab. Ini merupakan bukti dan tanda cinta serta kasih kita kepada Rasulullah SAW sebagaimana di dalam sebuah hadith:
Maksudnya: “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga dia kasih kepadaku lebih daripada dia kasih kepada ibubapanya, anakya dan manusia keseluruhannya.” [Riwayat al-Bukhari (15)]
Di samping itu juga, menjadi kewajipan kita semua sebelum membaca, menulis, mengajar, menyampaikan atau menyebarkan sesebuah hadith Nabi SAW, ia perlulah dikenal pasti terlebih dahulu akan sumber dan status (hukum) hadith tersebut. Ini kerana, bimbang dengan tidak menyatakan sumber dan hukum hadith tersebut, akan menyebabkan kita termasuk ke dalam ancaman Nabi SAW. Dengan cara ini, ia akan menjaga kesucian agama ini dan juga daripada penyelewengan golongan-golongan yang ingin menghancurkan Islam.
Penutup
Kesimpulannya, hadith palsu merupakan peringkat hadith dhaif yang paling buruk sebagaimana yang telah disebutkan oleh Imam Ibn Salah:
Maksudnya: “Ketahuilah olehmu bahawa sesungguhnya hadith palsu adalah termasuk di dalam hadith-hadith dhaif yang paling buruk.” [Lihat: al-Muqaddimah, 98]
Tambahan pula, hukum meriwayatkan hadith palsu adalah haram melainkan bagi menyatakan akan kepalsuannya dan akibatnya akan dicampakkan ke dalam neraka di akhirat kelak. Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara lidah-lidah kita daripada berdusta di atas nama Nabi SAW. Amin.
Wallahua’lam