Pelumba sensasi negara, Hakim Danish Ramli terus mencuri tumpuan dunia motosikal apabila berjaya menamatkan perlumbaan dua Grand Prix (GP) Sepanyol dan merangkul dua podium berturut-turut dalam saingan Piala Rookies Red Bull MotoGP di Litar Jerez.

Dalam aksinya pada Ahad, anak muda berusia 17 tahun dari Terengganu itu hampir mencipta kemenangan sulung musim ini sebelum akur di tempat kedua, hanya 0.031 saat di belakang juara, Carter Thompson dari Australia yang mencatat masa keseluruhan 25 minit 46.043 saat.

Dalam pada itu, tempat ketiga pula menjadi milik pelumba Amerika Syarikat, Kristian Daniel (0.294s).

Hakim Danish Gegar Jerez, Raih Dua Podium Berturut-Turut & Ungguli Carta Piala Rookies MotoGP
Kredit: Gold and Goose
Hakim Danish Gegar Jerez, Raih Dua Podium Berturut-Turut & Ungguli Carta Piala Rookies MotoGP
Kredit: Kosmo

Sehari sebelum itu, Hakim Danish turut menunjukkan konsistensinya apabila menamatkan perlumbaan pertama di tempat kedua, membuktikan keazaman luar biasa dalam aksi pembuka musim 2025.

“Saya amat gembira dapat kembali naik ke podium. Perlumbaan hari ini jauh lebih baik berbanding semalam. Saya cuba mengejar Carter sehingga ke garisan penamat,” katanya.

Ads

“Hampir menang, tapi saya percaya masa saya untuk berada di puncak akan tiba,” kata Hakim Danish selepas perlumbaan,” jelasnya lagi.

Menarik dan lebih membanggakan lagi, Hakim menjadi satu-satunya pelumba yang mampu memberikan saingan sengit kepada Thompson sepanjang perlumbaan penuh dramatik di Jerez itu.

Ads

Hakim Danish Gegar Jerez, Raih Dua Podium Berturut-Turut & Ungguli Carta Piala Rookies MotoGP

Sekadar info, ini bukan kali pertama Hakim mencipta magis di Jerez. Pada musim 2024, beliau juga pernah meraih podium di lokasi yang sama, menjadikan litar ini antara trek kegemarannya.

Ads

Menerusi dua podium berturut-turut, Hakim kini mendahului carta keseluruhan Piala Rookies Red Bull MotoGP 2025 dengan kutipan 40 mata, mengatasi Thompson (38 mata) dan Brian Uriarte (25 mata).

Seterusnya, tumpuan beralih ke Litar Le Mans, Perancis yang akan berlangsung pada 10 hingga 11 Mei depan, Hakim juga berazam untuk memburu kemenangan pertamanya musim ini dan terus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia selepas aksi penuh dramatiknya di Sepanyol.

Sumber: Sinar Harian

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI