“Hampir Lemas Bila Air Laut Naik Mendadak”, Remaja Kongsi Hobi Jaring Ikan Hujung Minggu

Share

Banyak remaja memilih lepak bersama kawan-kawan konon mahu menghilangkan stres di rumah. Biasanya mereka memilih pusat membeli belah, taman dan sebagainya.

Berbeza dengan Abu Hafizl bin Kamaruzaman, 20 tahun, remaja ini memilih untuk ke Pantai Bagan Lalang, Sepang di hujung minggu untuk menjaring ikan bersama ahli keluarganya.

“Hobi ini dari usia saya kecil lagi. Kami biasa ke Pantai Bagan Lalang setiap kali hujung minggu. Saya sudah didedahkan dengan suasana ini. Diajar bagaimana untuk memasang jaring sejauh dua kilometer semasa air surut dan mengutip ikan-ikan ketika air surut sebelah paginya,” katanya yang belajar di Institut Kemahiran Mara (IKM) di Johor Bharu dalam bidang kimpalan.

Fizi bersama adik perempuannya mengutip hasil ketika air surut di Pantai Bagan Lalang

Mesra disapa Fizi, paling seronok adalah ketika mengutip hasil.

“Macam-macam ikan dapat. Pernah dapat ikan barakuda yang agak besar, ikan gelama, siakap, senangin, ketam, udang, ikan sisa nabi dan sebagainya,” jelasnya sambil menambah di sebalik keseronokan mengutip ikan-ikan di tengah laut, bahaya tetap menanti tanpa disedari.

“Ketika itu usia saya 10 tahun, dalam darjah 5. Tengah seronok kutip ikan, tiba-tiba air laut pasang mendadak dari bawah. Ini bermakna kami terkepung di tengah laut dan air ketika itu sudah mencecah paras dada ayah. Saya pun terus melompat naik ke atas bahunya kerana sudah hampir lemas ketika itu,”katanya mengakui hobi memasang jaring di laut ini adalah satu keseronokan.

Tong ikan berisi ikan ditarik. Lokasi ini di tengah laut ketika air surut di Pantai Bagan Lalang
Bukan senang sebenarnya untuk mengeluarkan ikan kecil yang terperangkap dalam jaring halus. Memerlukan masa untuk dibawa keluar. Semuanya perlu dilakukan pantas sebelum air pasang

Bagi Fizi, biar hobi ini nampak mudah tetapi proses memasang jaring di tengah laut adalah satu kemahiran yang bukan mudah. Lagi satu ia banyak bergantung kepada pasang surut air laut dan semua ini perlu tahu demi mengelak berlakunya tragedi.

“Biasanya kami akan pacak besi sepanjang dua kilometer mengikut jarak jaring. Kemudian jaring diikat di besi berkenaan untuk menahan ikan-ikan yang tersangkut. Biasanya kami akan pasang lurus. Ada juga yang pasang bentuk L dan huruf T. Bergantung kepada teknik masing-masing.

“Masa memasangnya juga ambil masa. Tapi paling lama ketika proses mengutip hasil sebab hasil-hasil laut tersangkut pada jaring yang halus matanya. Nak keluarkan satu hal sebab bukan mudah,” katanya yang akan membawa satu tong yang ditarik untuk meletak hasil laut diperoleh.

Ini sebahagian hasil diperolehnya ketika memasang jaring di sebelah malam

Hobi ini bukan setakat mengeratkan hubungan kekeluargaan tapi adalah satu pengalaman yang mahal harganya.

“Hobi ini diteruskan bersama abang dan adik termasuk adik perempuan,”katanya yang lebih suka menghabiskan masa hujung minggu di laut berbanding keluar bersama kawan-kawan,” katanya mengukir senyuman.

Dalam pada itu, bapanya, Kamaruzaman berkata, dia memang mengajak anak-anak beriadah dengan cara ini.

“Memang seronok bersama begini. Anak-anak juga depan mata. Tapi dalam menjaring begini, ada risikonya. Ini termasuklah hal misteri di laut,” katanya yang pernah mengalami gangguan hantu laut bila mana muncul di hadapannya sebuah bot nelayan, siap dengan cahaya tetapi tiada orang di dalamnya.

“Bila kena hal begitu, biasanya kami akan naik segera ke atas. Memang tak nak ambil risiko. Ada juga nampak benda-benda pelik tapi biarlah ia jadi rahsia Allah,” katanya yang turut ditemani isterinya, mesra disapa Kak Cumi.

Dalam pada itu Kak Cumi berkata, dia yang mempunyai 10 orang anak dan tinggal di Nilai, Negeri Sembilan tidak pernah menjual hasil laut diperoleh sebaliknya hanya bersedekah pada jiran-jiran.

“Bukan saja anak-anak tapi biasa jiran-jiran pun ikut ke sini. Biasa bila abang dan anak ke laut, kami akan bakar di sini juga. Makan fresh-fresh. Selebihnya bawa balik dan sedekah pada jiran tetangga,” katanya ketika ditemui.

Published by
Almaswa Haji Che Ros