Individu Terima Dua Dos Vaksin Dibenarkan Ke Langkawi Tidak Lama Lagi

Share

Berita yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia, individu yang sudah lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19 akan dibenarkan bercuti di Langkawi selepas pulau peranginan itu dijangka dibuka kepada pengunjung pada September akan datang.

Perkara ini disahkan oleh Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor dengan menyatakan bahawa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sudah bersetuju membekalkan vaksin yang mencukupi bagi memastikan 80 peratus penduduk pulau itu menerima suntikan vaksin sebelum kehadiran pelancong.

Gambar hiasan

Pihak MOSTI dan MOTAC bersetuju menubuhkan jawatankuasa khas bagi mempercepatkan pemberian vaksin kepada 61,000 penduduk Langkawi yang layak menerima vaksin. Ini bermakna sebanyak 120,000 dos vaksin perlu dibekalkan kepada penduduk Langkawi sebelum dibuka kepada orang ramai.

Pelancong yang hendak masuk ke Langkawi pula perlu lengkap dua dos vaksin dan mereka yang tidak disuntik atau hanya menerima satu dos suntikan, tidak dibenarkan bercuti di Langkawi.

Jangkaan pembukaan Langkawi dalam tempoh dua bulan lagi dapat memulihkan kembali sektor pelancongan di pulau lagenda itu.

Tidak dinafikan sektor pelancongan antara yang paling terkesan teruk dan kerana itu kita sering mendengar tentang penutupan hotel-hotel besar yang ada di Malaysia.

Gambar hiasan

Semoga dengan pemberian vaksin yang telah diberikan kepada rakyat mampu memberikan kehidupan seperti sedia kala. Ramai yang sudah tidak sabar untuk merentas negeri, bukan semata-mata untuk melancong tetapi ingin menziarahi keluarga yang sudah lama tidak ditemui.

Sumber: (1)

Published by
Noor Ain Norman