Hanya Jualan Kentang Goreng, Graduan RMIT Melbourne Ini Peroleh Lebih RM6,000 Sehari

Share

Nampaknya dah jadi trend anak muda sekarang suka berkecimpung dalam dunia perniagaan makanan. Lihat saja tapak food truck di serata bandar dekat Malaysia ni, rata-rata daripada peniaga di dominasi oleh golongan remaja.

Tak dinafikan, industri makanan dilihat sebagai salah satu punca rezeki yang mudah untuk mendapat keuntungan yang tinggi. Namun, nak memulakan bisnes makanan ni pun bukan boleh dibuat main-main. Banyak perkara perlu diambil kira sebelum memulakan perniagaan. Kalau nak maju dan tahan lama, kenalah keluar dengan idea yang ‘bukan biasa-biasa’.

Ini yang dilakukan oleh Hasif Othman, graduan Royal Melbourne Insititute of Technology (RMIT), Melbourne, pemuda kelahiran Singapura. Menamatkan pelajaran dalam bidang ekonomi dan kewangan, Hasif memang bercita-cita untuk mempunyai perniagaan sendiri.   

Bisnes kentang goreng ‘hispter’

Bermula dengan idea yang terhasil ketika sedang bersembang dengan rakan baiknya, anak muda ini berhasrat untuk menjual kentang goreng. Namun, bukan sekadar kentang goreng biasa, Hasif menamakan “Katoshka” kerana nak nampak seperti jenama antarabangsa. Baru style

kan?

Untuk memulakan perniagaan ini, dia terpaksa menggunkan wang simpanannya sebanyak SGD 10,000 (RM31,500) dan sedikit sumbangan daripada ibu bapanya. Mengambil masa selama empat bulan untuk menghasilkan resipi istimewa ini dan dalam waktu yang sama dia sibuk memikirkan tentang strategi pemasaran yang paling efektif.

 

 

Katoshka diinsipirasikan oleh kentang goreng Amsterdam dengan menggunakan kentang berkualiti tinggi yang diimport dari Amerika Syarikat. Untuk nampak lebih menarik, ia dihidangkan di dalam cawan kertas dan dipotong menjadi kepingan serta digoreng sebanyak dua kali supaya lebih garing. Akhir sekali, kentang goreng tersebut dihidangkan bersama pilihan sos yang lazat.

Kita dengar pun dah kecur air liur kan?

Sebelum jual kepada pelanggan, Hasif telah memberikan terlebih dulu kepada keluarga dan rakan-rakan untuk mencuba resipinya ini dan meminta pendapat daripada mereka. Nampaknya eksperimen bro ni tak sia-sia. Hasilnya memang boleh tahan! 

Tiada pengalaman

Tidak pernah mempunyai sebarang pengalaman dalam dunia perniagaan, Hasif mula menjual kentang goreng di pasar malam Geylang dan seperti peniaga-peniaga baru yang lain, banyak cabaran perlu dilaluinya. Katoshka mengalami masalah sistem operasi kerana dia memerlukan masa yang lama untuk menghasilkan hidangan tetapi dia hanya mempunyai dua orang pekerja untuk tugasan menggoreng.

“Oleh sebab kekurangan sumber dan kentang goreng ini perlu digoreng serta-merta dan pelanggan terpaksa menunggu dalam masa lebih kurang 30 hingga 40 minit. Kami menggunakan cara menelefon atau sms pelanggan untuk memberitahu kentang goreng mereka sudah pun siap.”

 

 

“Namun begitu, kami beruntung kerana makanan yang dijual tidak sama dengan apa yang selalu ada di pasar malam dan kerana itu, ia lebih mudah untuk mencuri perhatian pihak media,” jelas Hasif.

Hasil lumayan

Walaupun industri makanan dianggap sangat mencabar di Singapura, namun dengan inovasi yang telah dilakukannya, anak muda ini mendapat pulangan yang lumayan di antara RM4,700 hingga RM6,300 bergantung pada lokasi dengan purata jualan sebanyak 300 cawan kentang goreng setiap hari.

Bukan hanya berniaga di pasar malam, Katoshka juga sering mengambil peluang untuk berniaga di acara-acara yang dianjurkan di sana.

“Walau bagaimanapun, kami perlu untuk memilih event yang ingin disertai kerana mengambil kira tentang kos dan bayaran sewa yang tinggi. Biasanya, kami akan turut serta dalam dua bulan sekali pada event-even

t yang dianjurkan,” jelasnya lagi.

 

Ditanya apakah nasihat kepada anak muda luar sana yang ingin menjadi usahawan, Hasif menjawab, “Jangan takut untuk memulakan perniagaan kerana kita akan banyak belajar ketika dalam proses itu dan pengalaman ada akan menjadikan kita lebih baik pada masa hadapan.”

Tambah anak muda ini lagi, untuk kekal berjaya dalam dunia perniagaan makanan hari ini, jangan takut melakukan perubahan dan teruskan dengan inovasi.

Maka, tak hairanlah kalau kita lihat zaman sekarang ramai anak muda yang jadi jutawan kan? Bukan kerana duit mak bapak, tengok saja apa yang diusahakan oleh jejaka ini.

Benarlah seperti yang dikata, usaha tangga kejayaan!

 

Sumber: asiaone.com

Published by
Noor Ain Norman