Aduh, orang lain buat squat untuk bersenam. Lain pula ceritanya apabila seorang pelajar sekolah vokasional di Sichuan, China alami kecacatan kekal akibat melakukan lompatan squat sebanyak 150 kali.
Hanya disebabkan ada snek makanan di katil, pelajar malang tersebut diarahkan oleh ketua pelajar melakukan ketuk ketampi sebanyak 300 kali.
Namun, mangsa menafikan makanan itu adalah miliknya dan memaklumkan bahawa dia pernah mengalami kecederaan kaki pada April 2020. Tidak menghiraukan pelajar tersebut, ketua pelajar itu didakwa tetap berkeras menyuruh mangsa meneruskan ketuk ketampi di bawah pemantauan seorang guru yang didakwa tidak menghentikan kekerasan berkenaan.
Akibat dari insiden tersebut, mangsa dilaporkan terpaksa menjalani pembedahan serius pada kaki selain diberitahu akan mengalami cacat kekal dan sekarang perlu menggunakan tongkat untuk berjalan.
Memetik The Sun, ibu mangsa menyatakan insiden berlaku pada tarikh 10 Jun lepas. Malah, pelajar perempuan ini turut disahkan mengalami depresi susulan peristiwa itu serta perlu berjalan menggunakan topang.
Pihak sekolah mengakui bersalah dan ingin bertanggungjawab di atas tragedi itu dengan menawarkan RMB 109,774 (kira-kira RM71,236) kepada keluarga mangsa namun ditolak, tulis portal itu. Sementara itu, guru yang terlibat dilaporkan telah dipecat pada 14 Julai lalu manakala siasatan masih berjalan.
Aduh, teringat pula cikgu penulis dulu selalu rotan kalau buat kesalahan tapi tidaklah sampai cedera.
Sumber: The Sun UK