Kira-kira tiga minggu lalu, REMAJA pernah melaporkan mengenai keadaan semasa remaja penerima hati pertama negara yang berdepan dengan komplikasi kesihatan.
Mohd Afiq Ikmal Muhammad Zaini, 23 berada dalam keadaan tidak sedarkan diri selama 18 hari berturut-turut di Hospital Selayang.
ARTIKEL BERKAITAN :Sama-Sama Doakan, Keadaan Remaja Penerima Hati Pertama Malaysia Kritikal
Pada waktu Subuh hari ini, dia disahkan telah meninggal dunia.
Perkhabaran tersebut dikongsikan oleh penderma hatinya, Wan Mohd Hafizam Wan Ismail, 45 yang juga merupakan Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Kata Wan Mohd Hafizam, dia dimaklumkan oleh bapa Allahyarham, Muhamad Zaini Rahim pagi tadi sejurus Allahyarham menghembuskan nafas terakhir.
Jenazah akan dibawa ke Kampung Masjid Tikam Batu, Kedah pada hari ini untuk urusan pengebumian dan dirinya akan turut mengiringinya sebagai tanda penghormatan terakhir. Terdahulu, jenazah akan dimandikan dan dikafankan di Hospital Selayang.
“Sebagai penderma hati, saya turut terkesan dengan pemergiannya. Doakan semuanya dipermudahkan.”
Untuk pengetahuan, Mohd Afiq merupakan penerima hati yang melalui pembedahan pertama seakannya di Malaysia pada tahun 1999. Ini berikutan masalah hatinya yang bengkak pada usia 14 bulan.
Berita tersebut telah menarik perhatian pihak media seluruh negara pada waktu tersebut setelah Wan Mohd Hafizam, seorang jejaka yang tidak mempunyai sebarang pertalian darah dengan keluarga Allahyarham menawarkan diri untuk membantu kanak-kanak tersebut. Malah, pembedahan tersebut juga mencatat sejarah dalam dunia perubatan tempatan.
REMAJA ingin menyampaikan ucapan takziah kepada semua yang mengenali Allahyarham Mohd Afiq Ikmal.
Sumber: (1) Muhammad Yusri Muzamir