Happy Birthday Cik B! Daripada Menjadi ‘Mangsa’ Tekanan Anxiety Kepada Remaja Yakin Sekarang

Share

Ramai yang mengenali siapakah gerangan pemilik nama Nur Edlynn Zamilleen ini menerusi media sosial.

Lebih mesra dikenali sebagai Cik B, anak perempuan kepada ahli perniagaan, Dato Seri Dr Hajjah Vida ini dari luarannya kelihatan seperti remaja perempuan sebayanya yang yakin, kadangkala kelakar dan hanya menikmati kehidupannya. Namun di sebalik semua itu, Cik B dahulu sebenarnya pernah bergelut dengan isu tekanan anxiety.

Ujarnya, dia bersetuju sekiranya ada yang membandingkan personaliti yang jauh berbeza dengan Mamanya.

“Dulu, saya seorang yang pemalu ketika berhadapan dengan orang yang tak dikenali. Bukan sombong, cuma tak biasa nak bergaul dengan orang lain. Jadi saya lebih banyak mendiamkan diri.

“Isu pemalu ini ditambah pula dengan masalah anxiety yang agak teruk saya alami semasa di sekolah rendah. Saya jadi bimbang dengan kehadiran terlalu ramai orang sampaikan timbul rasa takut jika ingin ke sekolah.

“Mamalah yang banyak membantu saya mengurangkan rasa takut itu, Perlahan-lahan, dia bawa saya berjumpa dan bergaul dengan orang di sekeliling untuk meningkatkan keyakinan diri. Sedikit demi sedikit, perasaan anxiety itu mulai hilang.

“Saya pun sebenarnya bertuah apabila ramai rakan di sekolah yang memberi dorongan. Mereka jugalah yang membuatkan saya minat dengan lagu rap dan fesyen hypebeast (ketawa),” katanya sewaktu menjalani penggambaran cover Majalah Remaja untuk isu Oktober – Disember, tahun lalu.

CIK B AKAN MENJADI LEBIH FEMININ?

Paparan Cik B di samping Dato Seri Vida untuk Majalah Nona baru-baru ini telah mendapat perhatian ramai orang apabila Cik B muncul dalam persalinan dress serba feminin. Bak watak Femme Fatale, Cik B terserlah sebagai seorang remaja perempuan yang gemar bergaya. Namun, adakah Cik B selesa dengan imej sebegitu rupa?

“Mama nak sangat melihat saya menjadi perempuan yang lebih feminin. Tapi nak buat macam mana, saya memang seorang yang lebih boyish. Lagipun saya bukan bayang ibu saya.

“Saya selalu ditanya sama ada pernah menggunakan produk keluaran Mama sendiri atau tak. Jujurnya, saya tak pernah gunakan produk menguruskan badan dan memutihkan kulit tersebut.

“Ada sebab mengapa saya enggan menggunakannya. Ya ia berkesan jika dipakai berterusan. Tapi memandangkan saya ini seorang yang tak konsisten untuk mengambil apa-apa jenis suplemen dan produk kecantikan, buat masa ini saya tak rasakan ia satu keperluan. Lagipun, saya selesa menjadi diri sendiri buat masa ini," katanya.

*

Betul tu Cik B. Keep being yourself, ramai yang minat dengan diri Cik B sekarang.

Happy birthday!

Published by
FZ