13 Mac 2020 dipilih sebagai World Sleep Day bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada penduduk dunia tentang kepentingan tidur dan berehat, termasuklah dalam bidang perubatan, pendidikan, aspek sosial dan pemanduan.
Sambutan ini diperkenalkan oleh World Sleep Day Committee of World Sleep Society dengan menerangkan pentingnya tidur dan juga cara menghalang masalah tidur.
Mereka terdiri daripada individu yang bekerja dalam sektor perubatan, mengambil bidang kesihatan khususnya dalam penyelidikan berkenaan tidur.
World Sleep Day diraikan pada hari Jumaat sebelum fenomena Spring Vernal Equinox berlaku setiap tahun. Untuk tahun ini, sambutan hari tidur sedunia disambut pada 13 Mac dan pada tahun hadapan, ia akan berlaku pada 12 Mac 2021.
Hm, tak sangka pula tidur pun diangkat sebagai satu sambutan bagi masyarakat dunia. Tapi, ada relevannya juga kerana segelintir individu terlalu menghabiskan masa dengan kerja sehingga mengambil mudah soal tidur dan berehat.
Manusia dewasa lazimnya memerlukan waktu tidur selama 7 ke 8 jam sehari, tapi dek kerana kepadatan jadual kerja, ada yang tidur hanya 4 jam sehari.
Selain itu, tidur juga sebenarnya mempunyai manfaat seperti berikut:
1. Jantung lebih sihat
Tidur yang berkualiti mengurangkan beban terhadap jantung anda, kerana tekanan darah dan kadar degupan jantung menurun pada waktu malam.
Sementara itu, orang yang kurang tidur atau tidur terlalu banyak berisiko tinggi untuk menghidap Hiperlipidemia, di mana keadaan kolesterol di dalam darah berada pada tahap tinggi, yang boleh menjadi punca serangan jantung atau strok.
2. Berat badan yang sihat
Kurang tidur boleh menganggu keseimbangan hormon ghrelin dan leptin di dalam badan, di mana kedua-dua hormon ini boleh mengawal atau menambah selera makan yang menyebabkan pengambilan kalori berlebihan sehingga berat badan bertambah.
3. Mengawal emosi
Tidur dan emosi mempunyai kaitan yang rapat; kekurangan tidur boleh menyebabkan emosi terganggu dan tekanan, sementara mengekalkan corak tidur yang sihat dapat membantu meningkatkan kesejahteraan emosi.
4. Memori dan konsentrasi
Tidur juga membantu meningkatkan kemahiran menyelesaikan masalah, konsentrasi dan produktiviti.
Wah, mesti ada yang rasa nak sambung tidur kan? Hiks!
Sumber: worldsleepday.org