Setiap kesultanan memiliki keistimewaan dan juga sejarahnya yang tersendiri. Negeri Perak merupakan negeri berdaulat yang memiliki sejarah panjang. Ketika jatuhnya Kesultanan Melayu Melaka, Sultan Mahmud Syah I telah mangkat di Kampar, Sumatra dan meninggalkan dua anak lelaki. Sultan Alauddin Riayat Syah II dan Juga Sultan Muzaffar Syah.
Sultan Alauddin Riayat Syah II telah menjadi Sultan Johor lama yang pertama manakala Sultan Muzaffar Syah pula telah dijemput untuk menjadi Sultan Perak yang pertama pada 1528. Sehingga kini telah 35 orang sultan ditabalkan bagi mengetuai negeri bertuah ini.
Suatu ketika dahulu banyak amalan istiadat bertentangan agama yang dilakukan di dalam Istana Perak. Antaranya adalah Istiadat Tabal Jin yang dilakukan pada sebelah malam yang mana ketika siang harinya berlangsung istiadat pertabalan Sultan Perak. Istiadat ini dipercayai sebagai untuk membuktikan kedaulatan seseorang Sultan apabila menaiki takhta.
Ketika mula-mula menjadi Mufti Perak pada tahun 1985, apabila mengetahui amalan sebegini dilakukan sebelum ini, Tan Sri Harussani menasihati sultan Perak ketika itu iaitu Sultan Azlan Shah untuk menghentikan amalan yang bertentangan dengan agama ini di Istana. Biarpun begitu, beliau bukanlah memarahi atau menghina sebaliknya dengan baik cuba memahamkan perkara-perkara yang khurafat bertentangan dengan ajaran Islam.
Sultan Azlan Shah yang bersikap terbuka mendengar pendapat tersebut akhirnya memansuhkan Istiadat Tabal Jin dan ia digantikan dengan Istiada Tabal Pusaka yang tidak melibatkan sebarang anasir lain yang menyekutukan Allah SWT ataupun penggunaan sebarang mantera.
Selain istiadat Tabal Jin satu lagi amalan yang telah berjaya dimansuhkan dari Istana perak adalah amalan memasang ‘sangkar-sangkar’ disekeliling Istana.
Hasil daripada nasihat-nasihat yang diberikan, ketika majlis pertabalan Sultan Nazrin Shah sebagai Sultan Perak ke-35, tiada unsur-unsur khurafat yang melanggar syarak berlaku, sebaliknya istiadat yang dilakukan lebih kepada memelihara adat dan adab Melayu yang diwarisi dari turun temurun.
*** P/S – Tan Sri Harussani mula menjawat jawatan sebagai Mufti Perak bermula tahun 1985 sehingga menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 30 Mei 2021. Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham dan juga Almarhum Sultan Azlan Shah yang sama-sama membawa perubahan dalam istiadat di Istana Perak.