Sistem pendidikan negara selalu saja berubah dari semasa ke semasa.
Ibu bapa sedia maklum akan situasi tersebut kerana mereka juga pernah melalui zaman ‘perubahan sistem’ dahulu. Jadi mereka pun tak terkejut sekiranya ada perkara baru yang akan diubah.
Terbaru, ada ura-ura yang mengatakan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) di peringkat diploma, Tingkatan 6 dan matrikulasi akan dihapuskan. Ini kerana ia dikatakan menidakkan kepentingan kertas ujian Bahasa Inggeris yang dijawab oleh calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Hhm..
Of course, ramai pihak yang memberikan pendapat berbeza berkenaan isu ini. Namun, pendapat ‘kakak selebriti’ ini mencuri tumpuan REMAJA kerana dia mempunyai asas ke atas pendapat beliau.
Penyanyi dan pelakon, Adibah Noor pernah bergelar seorang guru Bahasa Inggeris sebelum ini. Jadi tak hairanlah sekiranya isu ini dekat dengan hatinya.
Kak Diba berpendapat, penguasaan bahasa kedua seperti bahasa Inggeris akan membuka lebih banyak peluang dan ruang, tanpa menidakkan kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
“Kalau ingin hapuskan MUET kerana yuran membebankan, mungkin kita boleh pertimbangkan ujian MUET secara percuma? Tetapi saya tahu, pelajar TOEFL, IELTs dan sebagainya pun pasti hendakkan ujian percuma kan?
“Macam inilah, ujian bahasa ini sama seperti permainan di telefon. Siapa nak booster, dia kena beli. Siapa ada booster (penguasaan bahasa Inggeris), peluang dan ruang akan terbuka lebih luas berbanding pelajar yang harapkan ‘booster’ free dengan menonton iklan ketika bermain game.
“Kalau nak berlayar lebih jauh ke luar negara, kenalah juga beli booster yang lebih mahal (dengan mengambil ujian ekstra). Untuk mara ke tahap yang lebih tinggi, kena boost diri sendiri.
“Kalau tak mampu…well, ada slogan yang biasa didengar kan? Hendak seribu daya, tak nak seribu dalih,” catatnya menerusi Twitter.
“Sekiranya kita diberi peluang berkhidmat di luar negara tetapi penguasaan bahasa Inggeris kita rendah, ia akan menutup peluang itu dan kita sendiri akan menyesal.”
Minggu lalu, Kementerian Pendidikan melalui menterinya, Dr. Maszlee Malik menolak cadangan menghapuskan MUET. Sebaliknya, mereka mencadangkan untuk memasukkan MUET ke dalam modul peperiksaan sekolah menengah.
Sumber: ASTRO Awani