Haram Makan Di Kenduri Tak Dijemput, Wajib Bayar Harga Makanan- Ustaz Khuzaimi

Share

Esok merupakan hari terakhir Syawal diraikan. Pastinya ada sebahagian kita yang masih membuat jamuan hari raya sama ada pada hujung minggu ini mahupun minggu-minggu sebelumnya.

Bagi menyambung silaturahim, biasanya tuan rumah akan menjemput tetamu di setiap majlisnya. Biasanya bagi yang kenal, dirinya mereka akan dijemput. Tapi bagaimana jika kawan yang dijemput mengajak kawan yang lain? (tuan rumah tidak jemput sebab tak kenal kita pun).

Biasa ramai tak ambil kisah perkara soal jemputan kerana istilah diajak kawan tapi tanpa diduga dan pasti ramai yang terkejut kalau tahu hukumnya.

REMAJA menghubungi, Penolong Pendaftar Nikah, Rujuk & Cerai Jabatan Agama Islam Wilayah, Ustaz Khuzaimi Ibrahim yang kini bertugas di Masjid di Sungai Penchala mengenai isu hukum menghadiri kenduri yang tidak dijemput ini.

Penolong Pendaftar Nikah, Rujuk & Cerai Jabatan Agama Islam Wilayah, Ustaz Khuzaimi Ibrahim

Menurut Ustaz Khuzaimi, HARAM hukumnya makanan yang kita makan jika kita hadir di kenduri atau majlis tidak dijemput. Dan WAJIB MEMBAYAR HARGA MAKANAN yang telah kita makan itu kepada tuan rumah di atas kekhilafan yang kita lakukan itu.

Tambah Ustaz Khuzaimi, tiada istilah kawan ajak kawan dalam soal bertandang ke majlis orang kerana hukumnya haram ke atas makanan yang makan tanpa jemputan.

“Kita tak boleh ikut ajakan kawan-kawan. Dalam istilah jemputan menghadiri majlis, tiada istilah kawan ajak kawan. Andai kawan dijemput, itu hanya jemputan untuknya dan bukan untuk kita. Tak boleh makan kerana hukumnya haram,” katanya.

Jika ada jemputan, digalakkan kita pergi namun haram hukumnya jika kita makan di majlis tidak dijemput. Gambar hiasan

Bagaimana kalau dah termakan? Jelas Ustaz Khuzaimi, hukumnya haram dan wajib kita membayar harga  makanan yang dimakan itu pada tuan rumah.

Kalau dah bertahun-tahun kejadian itu dan kita lupa  siapa tuan rumah pula bagaimana? Jika ini yang terjadi, kita perlu bersedekah di masjid namun sebutlah di dalam hati sebagai satu niat bahawa sedekah ini adalah sebagai penggantian makanan yang kita makan di rumah yang kita tak diundang dan tuan rumah yang kita tak kenal pun. Dan kita wajib bertaubat untuk tidak melakukannya lagi.

Bagaimana pun tambah Ustaz Khuzaimi lagi, seandainya kawan telah memaklumkan kepada tuan rumah (ketika ketibaan kita), makanan yang kita makan itu tidak haram hukumnya.

“Katalah begini, semasa ketibaan kita, kawan yang menerima jemputan tadi memaklumkan kepada tuan rumah dia mengajak kita dan tuan rumah berkata, tiada masalah dan dibolehkan hadir ke majlisnya, tidaklah sampai jatuh hukum haram makanan kita makan dan tak perlu bayar semula.

“Yang jadi hukum haram kalau tuan rumah tak tahu langsung dan tak dimaklumkan barulah jatuh haram makanan kita makan  itu. Boleh juga sebelum kita pergi itu, suruh kawan menelefon tuan rumah memaklumkan mahu bawa kawan, itu lagi bagus,” katanya menambah adalah lebih baik dan lebih afdal jika kita tidak mengikut kawan pergi ke majlis kenduri jika tidak dijemput bagi mengelak makan makanan ini.

“Tiada istilah kawan ajak kawan semasa pergi kenduri. Tak boleh meneman sesiapa sebab malu atau sebagainya,” katanya lagi.

So, bagi yang pernah buat silap ketika kecil atau remaja dahulu, bolehlah bersedekah ke masjid dan niatkan di dalam hati tentang sedekah itu. Tak adalah nanti di dalam tubuh kita tumbuh daging dan darah makan makanan haram yang boleh menggelapkan hati kita untuk beribadah kepada Allah taala.

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros