Ketika umat Islam sedang meneruskan ibadah berpuasa dengan tidak makan dan minum di siang hari, jelitawan bijak negara iaitu Dr. Soo Wincci yang kini berada di Sepanyol bagi terus memburu ijazah kedoktoran (PhD) kedua beliau turut tidak terkecuali daripada berpuasa.
2021 menandakan tahun kesepuluh buat Miss World Malaysia 2008 ini berpuasa dan beliau mempunyai alasan kukuh untuk meneruskan tradisi tersebut biarpun berlainan kepercayaan.
“Bagi saya, saya memang merasai kebaikan berpuasa terutamanya dalam menetapkan semula (reset) badan. Puasa juga mengajar saya agar sentiasa bersyukur dan sabar ketika melakukan rutin harian,” katanya semasa dihubungi REMAJA hari ini.
Biarpun selesa berpuasa atas keinginan diri sendiri, Dr. Soo Wincci yang kini sedang meneruskan pengajian dalam jurusan Artistik Produksi di University of Polytechnic merasakan perbezaan budaya di Sepanyol yang masih kurang memahami maksud di sebalik rutin berpuasa itu adalah antara cabaran terbesarnya.
“Ramai di kalangan mereka yang salah faham mengenai rutin puasa. Ada yang ingat kita boleh minum air, dan ada juga yang langsung tidak memahami apa itu puasa. Jadi setiap kali mereka tertanya-tanya, saya perlu terangkan serba-sedikit mengenainya,” kongsinya lagi.
Ini bukanlah kali pertama Dr Soo Wincci berpuasa di Sepanyol.
Lalu, keperluan menahan lapar dan dahaga selama 16 hingga 18 jam di sana kian sebati dengan dirinya. Begitupun, beliau mengakui lebih berhati-hati dengan pemakanan yang diambil agar badan kekal cergas sepanjang hari.
“Saya akan memilih untuk minum kopi bersama roti saja untuk waktu sahur. Manakala ketika berbuka, saya gemar mengambil sayur dan spaghetti.”
“Kepada semua umat Islam di Malaysia, saya ucapkan selamat berpuasa kepada kalian.
Dan saya berharap agar lebih ramai masyarakat bukan Muslim yang akan mencuba untuk berpuasa kerana ia mempunyai banyak kebaikan,” simpulnya yang juga sedang mempersiapkan beberapa video resepi untuk dikongsikan sempena bulan Ramadan ini.