Beberapa hari lalu, mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di fbnya ada membuat cadangan untuk kerajaan mempertimbangkan pengeluaran secara one off dari akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Ini kerana pandemic COVID-19 telah mengakibatkan begitu ramai yang terjejas dari segi kewangan kerana kehilangan kerja.
Di saat ramai yang bersetuju dengan cadangan tersebut kerana dikatakan dapat membantu seketika masalah kewangan dihadapi ramai pencarum, hasrat itu nampaknya mungkin tipis ya.
Ya agak tipis di saat begitu ramai berharap kenyataan itu menjadi kenyataan.
Memetik laporan Harian Metro, Perdana Menteri membayangkan sukar bagi kerajaan membenarkan pengeluaran wang akaun satu caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi digunakan rakyat yang berdepan pandemik Covid-19.
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau menyedari ada cadangan yang dibuat bagi pengeluaran wang akaun satu KWSP dibuat berikutan rakyat terbeban dengan impak ekonomi akibat penularan berkenaan.
"Saya nak beritahu sukar untuk kita menimbangkan perkara berkenaan (benarkan pengeluaran wang akaun satu KWSP), bukan kerana kerajaan tidak mahu.
"Memang ramai yang teks saya berkata 'tolonglah Tan Sri, kami susah'. Sekarang pun tanpa mengeluarkan simpanan itu kita sudah menyediakan berbilion ringgit bagi membantu rakyat.
"Jika kerajaan benarkan perkara itu dilaksanakan dengan mengeluarkan segala simpanan KWSP yang masih berbaki, saudara akan hadapi masalah yang lebih besar di masa hadapan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-24 Koperasi Sungai Terap/Sungai Raya Muar Berhad di Dewan Sri Permata, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Pasir, dekat sini, hari ini.