Siapa sangka nasi kandar kini menjadi kegemaran orang Jepun. Apa yang menarik, Restoran Zero Two Nasi Kandar Tokyo bukanlah diasaskan oleh orang Malaysia, sebaliknya restoran ini merupakan idea seorang jejaka Jepun yang dikenali sebagai Tateda.
Menurut laporan Japanese Heart, dia jatuh cinta dengan nasi kandar setelah makan menu tersebut ketika melawat Malaysia. Mengambil keputusan untuk membuka restoran nasi kandar setelah merasakan yang kari nasi kandar berbeza daripada kari lain, Tateda sebelum ini sebenarnya pernah memiliki restoran berasaskan masakan India.
Di buka pada awal Februari 2022, restoran yang terletak berdekatan Stesen Otemachi ini menjadi tumpuan orang ramai yang mahu mencuba masakan yang bercitarasa Malaysia. Menariknya mereka terdiri dari orang-orang Jepun sendiri selain dari orang Malaysia yang menetap di sana.
Apa yang menarik, hidangan nasi kandar yang disediakan di restoran ini adalah halal dan boleh dimakan oleh mereka yang beragama Islam. Pendekatan ini nampaknya menjadikan restoran ini sebagai sebuah restoran yang mengambil kira asal menu makanan yang dijual dan ternyata strategi ini meluaskan lagi demografik pelanggan.
Walaupun jauh terletak di Tokyo, pemilik restoran ini tetap mencuba mengekalkan rasa kari Nasi Kandar yang dia pernah cuba di Malaysia. Lauk pauk dan hidangan sampingan yang dihidang juga jelas mencerminkan hidangan lengkap sepinggan nasi kandar. Semua makanan yang dihidangkan ini boleh dipadankan sama ada memilih nasi putih atau nasi briyani.
Korang mesti tertanya-tanyakan berapakah agaknya kos untuk makan di sini? Harga sepinggan nasi kandar yang ditawarkan adalah antara JPY1,000 (RM36.40) sehingga JPY1,980 (RM72). Sebarang hidangan tambahan pula berharga antara JPY100 (RM3.64) dan JPY550 (RM20). Harga ini adalah berdasarkan poster yang dimuat naik di laman media sosial restoran ini.
Jika anda berkunjung ke negara matahari terbit ini suatu hari ini, restoran ini dibuka setiap hari dari jam 11.30 pagi hingga 8.30 malam. Kalau tidak mahu terlepas peluang, pastikan datang awal kerana menurut hantaran di Instagram mereka selalunya semua menu akan sold out
sebelum waktu penutupan.+++ Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Sumber gambar: Instagram Zero Two Nasi Kandar Tokyo