Baru-baru ini, sepasang kembar seiras yatim piatu berkongsi kegembiraan meraikan majlis graduasi mereka bersama segulung ijazah pada Majlis Konvokesyen ke-24 University College TATI (UC TATI) di Kemaman, Terengganu.
Apa yang lebih mengharukan, pasangan kembar Siti Nur Masmera Dalina Muhammad Yusof (23) dan Siti Nur Mastika Daliana Muhammad Yusof (23) turut memberikan hadiah terindah kepada nenek mereka, Wan Zaharah Ahmad (79) yang telah menjaga mereka berdua sejak kecil setelah pemergian ibu bapa mereka akibat kemalangan jalan raya.
Dalina dan Daliana masing-masing menerima Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Peralatan) dengan Kepujian pada majlis konvokesyen yang berlangsung pada 20 Oktober lalu dan lebih menggembirakan apabila mereka berjaya menerima ijazah kelas pertama atas pencapaian akademik yang luar biasa.
Menurut Dalina, walaupun menghadapi pelbagai cabaran dalam kehidupan namun dia tidak pernah berputus asa untuk mengejar impian menjadi seorang jurutera dan kejayaan itu merupakan hadiah terindah diberikan kepada neneknya yang telah banyak berkorban untuk membesarkan dia bersama adik kembarnya.
“Tidak pernah terlintas dalam fikiran bahawa kami akan berada di sini meraih ijazah dan menerima penghargaan yang begitu bermakna”
“Segala yang kami capai adalah hasil sokongan tidak berbelah bahagi nenek kami iaitu Wan Zaharah selain bantuan diberikan oleh pihak universiti,” katanya ketika ditemui media Sinar Harian.
BACA: Anak Orang Asli Cipta Sejarah, Genggam Ijazah Kelas Pertama Universiti Terkemuka Dunia
BACA: Tamat Pengajian Dengan Ijazah Kelas Pertama, Charmaine Chew Lambang Beauty With Brains
Dalam pada itu, Daliana turut berkongsi rasa syukur dan bangga atas kejayaan mereka meraih ijazah dalam bidang kejuruteraan.
Katanya, selain saling memberi semangat antara satu sama lain, dia turut menghargai jasa, kasih sayang, dan pengorbanan neneknya yang tiada ganti.
Sementara itu, nenek kepada pasangan kembar berkenaan, Wan Zaharah berkata, dia berasa bersyukur apabila cucu kembarnya yang dibesarkan sejak kecil berjaya menamatkan pengajian dalam bidang diminati.
“Saya sangat bangga dan terharu dengan kejayaan mereka. Walaupun kami tidak mempunyai banyak harta, saya selalu berpesan supaya mereka belajar bersungguh-sungguh. Mereka telah membuktikan bahawa usaha yang gigih serta berkat doa tidak pernah sia-sia dan mereka kini berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang,” katanya sambil menitiskan air mata kegembiraan.
BACA: Anak Bongsu Permaisuri Selangor Raih Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama
Wan Zaharah juga turut berterima kasih kepada pihak pengurusan UC TATI yang telah memberi peluang dan bantuan biasiswa asasi kepada cucunya bagi membolehkan mereka melanjutkan pelajaran di universiti berkenaan.
Pada majlis itu, Dalina telah dianugerahkan Anugerah Rektor atas kecemerlangannya yang tidak hanya terhad kepada bidang akademik tetapi juga aktif dalam kokurikulum. Dia juga merupakan contoh teladan kepada pelajar lain dengan penglibatannya yang aktif dalam pelbagai program universiti dan pencapaian akademik yang konsisten.
Sumber: Sinar Harian
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.