Pemergian ibu kepada tunang, Shila Amzah semalam setelah bertarung dengan penyakit barah telah ditangisi bukan sahaja oleh anak kandungnya, Ubai MZ tetapi juga oleh penyanyi Patah Seribu itu.
Memetik laporan media, Allahyarhamah Rohani Jamal meninggal dunia pada jam 6.45 petang dan ini merupakan kehilangan insan kedua yang disayangi oleh Ubai setelah keluarganya pada 4 Mei lalu meratapi pemergian adik lelakinya, Allahyarham Muhammaf Azrullah Mohd Zulkefli yang meninggal dunia akibat kemalangan.
Tambah sedih apabila pemergian Allahyarhamah Rohani juga terjadi hanya kira-kira seminggu sahaja sebelum majlis akad nikah Ubai dan Shila dijadualkan berlangsung.
ARTIKEL BERKAITAN: Sedondon Dalam Persalinan Warna Ungu, Shila Amzah & Ubai Selamat Bertunang – REMAJA
Menerusi hantaran video terbaharu di Instagram, Shila mengucapkan terima kasih kepada Yang Esa kerana telah ‘meminjamkan’ kasih ibu kepada tunangnya itu ibarat memiliki ibu kandung kedua.
“Sha sangat bersyukur walau sebelum jadi menantu pun, mak dah layan Sha macam anak sendiri. Keluh resah Sha semua mak pujuk.
“Dari adik meninggal dua bulan lepas, mak tetap jadi yang paling kuat. Kami pun tak mampu jadi sekuat mak. Mak cakap, ‘Kita yang hidup ini harus teruskan kehidupan, hargai siapa yang masih ada di depan kita.’
“Banyak kali mak cakap, ‘Kalau mak sihat Sha, korang tak payah penat. Hantaran ke apa semua memang tangan mak akan buat.’
“Tapi dah ditakdirkan mak sakit. Bukan semua orang ada rezeki untuk dapat mak mertua yang baik. Percayalah, Sha bersyukur sangat dapat juga merasa walaupun cuma seketika,” ujarnya.
Sambil itu, Shila turut mengingati pesanan ibu Ubai agar terus menjaga anak kandungnya, Alieya yang masih bersekolah.
Sejak berkongsi mengenai pemergian Arwah semalam, ramai rakan selebriti yang tampil menzahirkan ucapan takziah mereka kepada pasangan tersebut di ruangan komen serta berharap agar mereka berdua terus diberikan kekuatan dalam menghadapi takdir Ilahi ini.
Antara yang berbuat sedemikian termasuklah Diana Danielle, Uyaina Arshad, Liza Hanim, Mimi Fly, Ziela Jalil, Alif Satar, Datuk Aznil Haji Nawawi, Sharifah Shahira, Yana Samsudin, Zara Zya dan ramai lagi.
FOTO: Instagram Shila Amzah
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.