Hari Malang Untuk Rapid KL, LRT & MRT Bermasalah Dari Pagi Hingga Ke Petang

Share

 

Jika korang bekerja atau menuntut di Kuala Lumpur, pasti masing-masing mengerti ‘hazab’nya bila berdepan dengan kelewatan tren perkhidmatan awam.

 

Setelah sentiasa memberikan perkhidmatan sebaik mungkin kepada pengguna servis perkhidmatan awam Light Rapid Transit  (LRT) dan Mass Rapid Transit (MRT) selama ini, hari ini boleh dianggap sebagai hari yang agak malang untuk RapidKL.

Ia bermula dari insiden pagi tadi yang membabitkan seorang wanita yang sedang mengandung empat bulan. Dalam pada dia sedang berdiri dan menunggu tren sampai, secara tiba-tiba dia pengsan, terjatuh dan terlantar di atas trek LRT di Stesen Damai.

Kejadian tersebut bukan saja mencetuskan suspen di kalangan pengguna LRT lain, malah mereka di media sosial juga turut risaukan nasib wanita berusia 26 tahun itu. Dia dilaporkan selamat dan dihantar oleh pegawai Rapid KL ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan.

Pujian harus diberikan kepada sistem Platform Intrusion Emergency Stop (PIES) yang dilaksanakan di sepanjang laluan LRT Kelana Jaya.

Sistem tersebut bertindak pantas melambatkan dan seterusnya memberhentikan kesemua tren yang sedang berfungsi sepanjang laluan Kelana Jaya sekiranya ia mengesan ada objek yang terjatuh ke atas trek

Bagaimanapun, susulan insiden tersebut, pergerakan semua pengguna LRT tergendala pada waktu puncak pagi tadi. Hanya selepas jam 8.15 pagi, keadaan kembali pulih normal.

* * * * *

Pada petang tadi pula kira-kira sekitar jam 4.30 petang, laluan MRT pula menghadapi masalah teknikal di Stesen Semantan. Susulan daripada itu, tren MRT terpaksa ‘mengambil giliran’ untuk bergerak, bermula dari tren Sg Buloh – Phileo Damansara.

Pekerja perlu menggantikan diod di trek MRT berdekatan stesen Semantan. Tren kembali berfungsi normal pada jam 6.17pm.

 

Manakala di stesen lain, pengguna terpaksa menunggu lama sehinggakan stesen MRT sesak dengan orang ramai yang baru pulang dari tempat kerja.

Ada yang sabar menunggu, ada juga yang memilih perkhidmatan awam lain sejurus selepas masalah itu berlaku. Nasib baik, MRT memahami situasi tersebut dan menawarkan pulangan duit tiket di kaunter servis pelanggan mereka.

Stesen LRT Pasar Seni. Foto: @rudeemuhamad

 

* * * * *

But no, it did not stop there. Sejam kemudian, tren LRT dari SS15 ke SS18 pula berdepan dengan masalah teknikal apabila tren bergerak dengan terlampau perlahan menuju ke stesen terakhir di Putra Heights.

Ramai yang berpendapat ia mungkin ada kena mengena dengan keadaan cuaca kilat dan ribut hujan yang melanda sekitar kawasan Subang Jaya pada petang tadi.

Stesen LRT Universiti. Foto: @sharifaharfah

 

Walaupun pengguna cuba untuk memahami situasi tersebut, hampir 200 orang ‘tersekat’ di stesen LRT Kelana Jaya dan lebih 100 orang lagi di dalam tren di atas trek.

Tambahan lagi, menurut mereka isu ini sudah berlarutan selama beberapa hari pada minggu ini terutamanya pada waktu puncak. Hasilnya, masuk pejabat lambat, sampai rumah pun lambat.

Sabar je lah jawabnya. Apa-apa pun, kami mengharapkan servis perkhidmatan awam negara terutamanya di Kuala Lumpur segera dimantapkan selaras dengan manifesto semua parti yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum kali ini.

Kalau tak, tak serupa bikinlah bro.

Published by
FZ