Boleh dikatakan, setiap kali Malaysia bertandang ke negara jiran itu untuk perlawanan bola sepak, pasti akan ada satu semangat magikal yang ditiup ke dalam diri pemain Malaysia. Seakan-akan maruah negara yang sebolehnya tidak mahu tunduk kepada Indonesia.
Malam ini, sejarah itu berulang semula apabila Malaysia membuat comeback penuh bergaya setiap kali Indonesia menjaringkan gol menerusi Beto Goncalves. Satu gol oleh Sumareh dan Syafiq Ahmad mengikat Indonesia, sebelum jaringan kemenangan Malaysia diperolehi pada masa tambahan melalui Sumareh.
Pada saat itu, penyokong di tanah air tak dapat menahan kegembiraan. Tapi lain pula penyokong negara yang berada di stadium Gelora Bung Karno.
Walaupun Ultras Malaya bersemangat memberikan sokongan sehingga ke saat-saat akhir, namun pengalaman mereka di sana pada malam ini dicemari oleh kekasaran penyokong tuan rumah sendiri.
Seakan sudah dijangka sejak awal, penyokong Malaysia mengambil keputusan untuk sentiasa dalam keadaan berhati-hati sedari masuk ke stadium pada petang tadi sehinggalah semasa menyaksikan perlawanan.
Sebaik saja gol kedua Malaysia diperoleh, penyokong Indonesia dilaporkan sudah memulakan tindakan provokasi.
Paparan placard kasar berbunyi, “F*** You Losers” terang-terangan menunjukkan tanda-tanda tidak berpuas hati.
Bukan itu saja, nyalaan air suar (flare) mengakibatkan sesetengah penyokong (kedua-dua negara) sesak nafas sehingga perlu diusung keluar, seperti yang dapat disaksikan dalam video yang dikongsi ini.
Balingan objek seperti botol dan batu itu tak usah cakaplah, ibarat rutin wajib mereka jika ditundukkan oleh Malaysia.
BACA: SEKALI LAGI, Penyokong Malaysia Dibaling Batu Semasa Masuk Stadium
Malah, commentator Astro ARENA iaitu Zainal Abidin Rawop juga dapat menghidu rusuhan yang akan berlaku sejurus wisel akhir perlawanan ditiupkan.
“Semoga pemain dan penyokong Malaysia selamat keluar dari stadium dan pulang ke hotel masing-masing.”
Perkongsian di media sosial juga memperlihatkan bagaimana tak terkawalnya penyokong Indonesia di dalam kawasan stadium.
REMAJA doakan agar tiada insiden serius yang menimpa Ultras Malaya dan Harimau Malaya.