Tiada ribut tiada angin, secara tiba-tiba , pempengaruh media sosial dan pelakon, Harris Annuar telah menerima mesej mengejutkan berbaur ugutan santau daripada seorang individu yang tidak dikenalinya.
Menerusi hantaran foto di akaun Instagram Harris, dia mendedahkan rantaian mesej ugutan yang diterimanya awal pagi semalam.
Jelasnya, individu itu telah mengugut untuk menghantar santau akibat rasa tidak puas hati terhadapnya.
Mesej tersebut berbunyi, “Kau ingat ini, kau tunggu bila-bila masa aku boleh upah bomoh untuk santau kau. Ini bukan benda main-main aku serius.
“Aku janji nama Allah, aku akan buat santau kau. Jangan terlalu senang-lenang sangat. Aku tak kisah kau artis, kau raja mana-mana negeri ke. Ini aku aku nak pesan dekat kau, kau simpan dalam otak kau okay.”
Justeru, Harris mengambil keputusan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Polis Shah Alam Seksyen 9 semalam. Laporan dibuat memandangkan ia adalah mesej ugutan serius dan Harris sendiri enggan perkara yang sama dihadapi orang lain terutamanya rakan selebriti yang khabarnya pernah diugut oleh individu sama.
Biarpun sudah membuat laporan polis, pemenang tempat ketiga pencarian Hero Remaja 2017 ini tampil ke hadapan bagi memastikan agar sesiapa yang pernah terasa hati dengannya untuk memaafkan kesilapan yang mungkin pernah dilakukannya.
“Di kesempatan ini, saya pun tak tahu sebenarnya saya salah apa atau dengan siapa. Tapi tak mengapa, saya tetap ingin minta maaf andai kata saya pernah menyakiti hati sesiapa atau membuat sesiapa merasa tidak selesa tanpa saya sedari.
“Kita ini hanyalah manusia biasa yang tidak pernah lari daripada kesilapan,” katanya sambil memohon doa kepada Ilahi agar hanya melindungi dirinya daripada sebarang keburukan yang berpunca daripada dirinya sendiri.
Tindakan Harris membuat laporan polis telah menerima sokongan daripada beberapa selebriti tempatan yang berharap agar individu tersebut menerima pengajaran daripada perbuatan keterlaluan ini.
Antaranya termasuklah Khai Bahar, Alif Muhaimin, Fendy Bakry, Ezlynn, Uyaina Arshad dan Safwan Nazri.