Putera Harry dan isterinya, Meghan mengejutkan keluarga diraja Britain pada Rabu apabila mengundur diri daripada tugas rasmi, tanpa berbincang dengan Ratu Elizabeth II.
Dalam kenyataan menggemparkan itu, pasangan itu menyatakan akan meluangkan masa di Amerika Utara.
Media melaporkan Duke dan Duchess of Sussex itu tidak memberitahu keputusan berkenaan terlebih dahulu kepada bapanya, Putera Charles dan Ratu Elizabeth II.
Berita mengejutkan itu susulan pengakuan pasangan itu sebelum ini yang berdepan tekanan liputan media dan dakwaan hubungan dingin dengan Putera Charles.
“Kami ingin menarik diri dari menjadi ahli keluarga ‘kanan’ kepada keluarga diraja dan berdikari, tetapi pada masa sama menyokong Ratu Elizabeth,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Buckingham.
Kenyataan sama menyebut bahawa pasangan itu akan memulakan fasa baharu itu pada tahun ini.
“Kami akan membahagikan masa antara United Kingdom dan Amerika Utara,” katanya.
Sementara itu, Istana Buckingham dalam satu lagi kenyataan berkata, perbincangan dengan pasangan berkenaan berhubung itu masih berlangsung.
“Kami memahami mereka mahu mengambil pendekatan baharu, tetapi isu ini kompleks dan memerlukan masa untuk diperhalusi,” katanya.
Harry, 35, dan Meghan, 38, berkahwin di Istana Windsor dan kini memiliki seorang anak lelaki bernama Archie
Pasangan itu berdepan dengan tekanan selepas liputan media berhubung perkahwinan mereka dan hubungan dengan keluarga diraja British.
Sebelum ini, pendapatan peribadi Putera Charles digunakan untuk membiayai kehidupan pasangan berkenaan.
Sementara, polis Britain menyumbang kepada aspek dan kos penjagaan keselamatan mereka. (sumber Harian Metro)
Wujud dakwaan Meghan Mengawal Harry
Putera Harry telah "berubah sepenuhnya" sejak bertemu dengan Meghan Markle. Menurut sumber dipercayai, mereka percaya bahawa dia adalah penggerak di belakang mereka untuk keluar dari keluarga diraja.
Sebelum ini Harry mengakui dalam satu wawancara bahawa dirinya tidak mempunyai hubungan baik dengan saudara lelakinya, Prince William dan perkara itu menjadi lebih teruk selepas mereka berkahwin.
Jelas kelihatan Harry dan Maghan tidak meluangkan banyak masa bersama William dan Kate dan jurang itu menjadi semakin besar. William dan Kate dilihat lebih formal dan lebih mengikut protokol istana berbanding Harry dan Meghan yang dilihat bertentangan arah di mana tiada persamaan dapat dilihat antara kedua mereka.
Harry juga dilihat tidak banyak meluangkan banyak masa bersama kawan-kawan malah dia mula berubah perwatakan dari tenang dan santai kepada dilihat begitu menjaga keperibadian.
Dapat dilihat Harry begitu ingin melindungi Meghan, mahu isterinya berasa selamat dan bahagia dan tidak menderita seperti ibunya, Puteri Diana. Malah kawan-kawannya menjadi kawan Meghan dan sebab itulah ramai percaya Meghan adalah penggerak Harry keluar dari keluarga diraja kerana beliau ingin sangat tinggal di Kanada dan California dan peluang keluar ini adalah harapan terbarunya untuk hidup bebas dari semua politik dan protokol istana.