Jangan risau, all is good..
Akhirnya, momen Harry Styles berada di atas pentas anugerah Grammy sebagai seorang pemenang tiba juga.
Kemenangan Grammy’s pertama bekas ahli One Direction itu adalah menerusi kategori Persembahan Solo Pop Terbaik yang menyenaraikan calon yang bukan calang-calang namanya dan sukar untuk sesiapa meramal pemenangnya.
Harry menerima saingan sengit daripada Justin Bieber (Yummy), Doja Cat (Say So), Billie Eilish (Everything I Wanted), Dua Lipa (Don’t Start Now) dan Taylor Swift (Cardigan). Biarpun begitu, Harry dilihat lebih menyerlah menerusi lagu Watermelon Sugar yang bukan saja popular tetapi juga sedap didengar.
Harry dilihat sedikit terkejut namun tetap teruja apabila diumumkan sebagai pemenang.
Penulis tertarik dengan reaksi calon lain dalam kategori tersebut. Masing-masing berdiri bagi memberikan penghormatan kepada Harry yang dilihat layak membawa pulang anugerah Grammy pertamanya.
Dan nampaknya, segala khabar angin mengenai perbalahan di antara Harry dan Taylor Swift yang pernah digosipkan sebagai pasangan kekasih sebelum ini juga telah dilupakan apabila Taylor turut memberikan reaksi positif terhadap kemenangan tersebut semasa kamera dipaling kepadanya.
Mereka juga sempat dirakam berborak bersama!
Kata Harry, “Saya hendak berterima kasih kepada peminat saya kerana memberikan saya kebebasan untuk mencipta muzik mengikut keinginan saya. Merekalah yang menyokong saya sejak 10 tahun lalu.
“Terima kasih kepada semua orang yang telah menyiapkan rekod ini bersama saya; label dan para pengurus saya. Kesemuanya, terima kasih. Saya merasa amat-amat bertuah pada malam ini,” katanya dalam sidang media secara virtual di Grammy’s.
Bagi Swifties pula, jangan risau kerana penyanyi dan penulis lirik kegemaran korang itu juga tidak pulang dengan tangan kosong. Taylor yang memperolehi sejumlah 6 pencalonan telah memenangi kategori Album Tahunan menerusi Folklore (as she should!).
Dua Lipa dan Billie Eilish juga bergelar pemenang pada tahun ini, masing-masing menerusi kategori Rekod Tahunan untuk Everything I Wanted dan Vokal Terbaik Dalam Album Pop menerusi Future Nostalgia.
Billie juga berjaya membawa pulang kategori Lagu Terbaik Untuk Media Visual menerusi lagu tema filem James Bond, No Time To Die.