Naib Juara Anugerah Juara Lagu (AJL38), Aisha Retno dan bintang kelahiran Brunei, Aziz Harun kembali bersama lagi tahun ini dengan sebuah bingkisan istimewa berjudul Ketipak Ketipung Raya, sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.
Lagu yang dicipta dan ditulis oleh Aziz Harun, Aisha Retno bersama dengan bantuan Romeo serta Glowrush selaku penerbit ini sebenarnya merupakan sebuah projek spontan yang tidak dijangka.
“Ia sebuah lagu yang lahir secara spontan pada tahun lalu. Pada saat itu saya teringin mempunyai sebuah lagu raya saya sendiri kerana tidak mahu ketinggalan. Dan saya ingin menjadikannya kandungan di platform media sosial TikTok.
ARTIKEL BERKAITAN: Songstress of the Moment: AISHA RETNO Buka Cerita Kejayaan Sutera
“Kebetulan pada waktu itu saya sedang bekerjasama dengan Aisha Retno untuk lagu Jarak, jadi saya bertanya pada Aisha jika dia sudi bantu menulis lagu ini bersama. Aisha bersetuju dan kami pun menyiapkan apa yang sempat dan memperkenalkannya di media sosial.
“Kami tak menyangka lagu itu mendapat sambutan yang baik dari para pengikut kami di media sosial, khasnya di laman TikTok. Lantas kami mengambil keputusan untuk merakamkan dan menyiapkannya dengan betul supaya dapat dilancarkan tahun ini sebelum Aidilfitri,” jelas Aziz Harun.
Selain itu, kedua penyanyi berbakat besar ini juga senang bekerjasama kerana keserasian sudah wujud sejak berduet lewat lagu Jarak lagi. Namun, bezanya hanyalah tema lagu duet kali ini adalah lagu Hari Raya.
“Aziz seorang yang sangat berbakat dan kami berkongsi minat yang sama dalam muzik. Dengan hasil kerjanya yang terbukti hebat dan komitmennya yang berterusan, saya tidak ragu-ragu untuk berkolaborasi lagi dengannya.
“Lagipun saya memang dah lama inginkan lagu raya sendiri dan sekarang terhasillah duet ini dan saya rasa ia mampu pergi jauh sebagai salah satu koleksi duet kami bersama,” kata Aisha pula.
Dalam pada itu, lagu ini turut menampilkan sebuah video muzik yang dirakam dalam sekali harung sahaja. Selain mereka berharap pendengar berpuas hati dan dapat menerima buah tangan terbaharu ini.
“Saya memang tak sabar melihat reaksi penonton yang bakal menyaksikan keakraban yang kami tampilkan dalam video muzik ini. Kami berharap semua yang sudah menantikan lagu ini sejak tahun lalu berpuas hati dengan hasil yang kami usahakan.
ARTIKEL BERKAITAN: “Pakailah ‘Braces’ Kalau Nak Diet…” -Aisha Retno Tepis Dakwaan Ambil Bahan Terlarang
“Saya pula harap anda semua akan menyukai lagu Raya pertama kami ini yang juga memberi penghormatan kepada rentak joget. Saya sengaja menampilkan unsur joget dalam lagu ini dan memberi sedikit nafas baharu supaya ia bakal lebih diminati dan dihargai, khasnya di laman media sosial seperti TikTok.
“Kami juga berharap ia akan menjadi lagu malar segar yang akan sentiasa diingati untuk masa-masa akan datang. Kami seronok menghasilkannya dan harap pendengar juga akan berasa seronok mendengarnya,” tutur pasangan duet itu penutup bicara.
Sebagai informasi, lagu Ketipak Ketipung Raya telah menjadi fenomena di media sosial apabila ramai yang tidak melepaskan peluang untuk menggunakan lagun ini sebagai muzik latar video mereka.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.