Tidak dinafikan harga pelitup muka sekarang sudah mulai menurun jika mahu dibandingkan pada bulan April lalu. Korang boleh dapatkan harga serendah RM10 untuk 50 keping pelitup muka jika dibeli secara online.
Namun begitu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengesan penjualan pelitup muka berharga semurah 50 sen di pasaran, namun kualitinya tidak mematuhi piawaian yang ditetapkan.
Oleh yang demikian, Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid menasihati pengguna agar berhati-hati ketika membeli pelitup muka berharga jauh lebih murah daripada harga siling agar tidak terdedah kepada bahaya lain.
Ada penjual yang tidak bertanggungjawab menjual dengan harga 50 sen dan mendakwa ia adalah pelitup muka tiga lapis, namun pemeriksaan mendapati bahan yang digunakan agak meragukan.
Pelitup muka yang dijual berdebu dan boleh menjejaskan kesihatan pengguna. Pelitup muka terbabit sedang dianalisis oleh Jabatan Kimia bagi memastikan kualitinya dan tidak menolak kemungkinan satu peraturan akan dibuat agar hanya pelitup muka memenuhi piawaian yang ditetapkan sahaja boleh dijual demi menjamin keselamatan pengguna.
Pada Ogos lepas, kerajaan telah menetapkan harga siling bagi pelitup muka RM1 sehelai. Jadi, sekiranya korang membeli pelitup muka dengan harga yang jauh lebih murah, pastikan ianya adalah selamat dan hadir dengan kualiti yang baik.
Jangan disebabkan mahu harga yang murah, tetapi perlu memperjudikan tahap kesihatan diri.
Sumber: BERNAMA