Hari ini pasti ramai berlumba-lumba membeli pelbagai barangan secara dalam talian kerana banyak syarikat membuat jualan murah sempena tarikh 9/9.
Namun dalam ghairah membeli, bacalah dengan teliti barangan yang ingin dibeli kerana dikhuatiri terbeli barangan tidak halal. Jika dilihat dari segi pembungkusan, tiada apa meragukan namun adakalanya tulisan yang kecil boleh memerangkap kita untuk membeli barangan mengandungi tidak halal.
Sebentar tadi, Bahagian Hab Halal JAKIM mengeluarkan kenyataan bahawa produk bijirin keluaran Bee Cheng Hiang iaitu Ez Mini Crunchies Crispy Pork Floss adalah tidak halal.
Berikut adalah status dikongsi oleh JAKIM.
Penjelasan Isu Status Halal Produk Bijirin Keluaran Bee Cheng Hiang
Ramai pengguna yang mula menularkan di media sosial berkaitan status produk bijirin keluaran syarikat Bee Cheng Hiang yang didakwa tidak halal seterusnya menimbulkan keresahan dalam kalangan pengguna khususnya pengguna Islam.
Untuk makluman, produk bijirin Ez Mini Crunchies Crispy Pork Floss keluaran syarikat Bee Cheng Hiang bukan pemegang dan tidak layak untuk memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia kerana menggunakan bahan ramuan yang tidak halal dari sumber babi (pork).
Justeru, pengguna dinasihatkan agar meneliti terlebih dahulu label bungkusan produk makanan yang berada di pasaran sebelum membeli atau menggunakannya. Elakkan keraguan dengan mengutamakan produk atau premis makanan yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sah kerana ianya dijamin halal dan toyyiban iaitu suci, bersih dan selamat serta mengikut garis panduan, standard serta perundangan berkaitan halal yang telah ditetapkan di negara ini.
Untuk mengetahui produk dan premis makanan yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia, sila layari Portal Halal Malaysia di www.halal.gov.my. Semakan juga boleh dilakukan melalui aplikasi telefon pintar SmartHalal.
(http://www.smarthalal.com.my/faq.html)
Ikuti penjelasan berkenaan isu-isu halal yang tular di:-
http://bit.ly/PenjelasanIsuHalalTular
Harap maklum dan terima kasih.
"Yakini Halal Malaysia"