Hati-Hati Nak Sendawa Depan Orang. Hukumnya MAKRUH Dalam Islam

Share

Tabiat sendawa secara umumnya apabila dilihat dari sudut adab, ianya sesuatu perkara yang tidak bermoral andai dilakukan secara terbuka terutamanya saat berada di meja makan dengan tetamu mahupun ketika menghadiri acara-acara keramaian.

Photo by mentatdgt from Pexels

Pokoknya bunyi sendawa itu sendiri dianggap tidak senonoh dan seharusnya kita sebagai individu yang bertamadun tahu menjaga adab dan etika (mengawal sendawa) sewaktu berada di meja makan, lebih-lebih lagi sewaktu dikelilingi tetamu.

Tapi, sebenarnya budaya sendawa ini tiada di Mesir malah Islam juga melarang kita mengeraskan sendawa sebenarnya.

Sendawa Tidak Disukai Nabi & Perbahasan Hukum Sendawa

Menyentuh tentang makanan, pasti ia terkait dengan sendawa yang menandakan tanda kenyang. Ada hadis dari Ibnu Umar r.a berkata bahawa ada seorang lelaki yang bersendawa di hadapan Rasulullah s.a.w.

Secara asasnya, sendawa itu sendiri merupakan satu perbuatan yang pernah ditegur oleh Rasulullah S.A.W. Tanpa mengira sama ada sendawa itu di dalam solat mahupun di luar solat. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma beliau berkata:

‎تَجَشَّأَ رَجُلٌ عِنْدَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ ‏‏ كُفَّ عَنَّا جُشَاءَكَ فَإِنَّ أَكْثَرَهُمْ شِبَعًا فِي الدُّنْيَا أَطْوَلُهُمْ جُوعًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: Seorang lelaki sendawa di sisi Rasulullah S.A.W, lalu baginda bersabda: Jauhilah sendawa kamu dari kami kerana sesungguhnya mereka yang paling banyak kenyangnya di dunia adalah mereka yang paling lapar pada hari kiamat.

Riwayat Al-Tirmizi (2478)

Jadi benarkah sendawa dengan kuat itu sesuatu yang tidak digalakkan dalam Islam? Sememangnya kita boleh makan sampai had kenyang yang munasabah, akan tetapi jangan biarkan sehingga berasa terlalu kenyang.

Adapun sendawa disebabkan faktor kesihatan, ia di berikan sedikit kelonggaran. Namun adab dalam bersendawa juga perlu di titik beratkan. Bukan boleh main suka-suka bersendawa sini sana.

Yang boleh ditafsirkan daripada hadis ini, sendawa dilihat sebagai perbuatan yang kurang elok. Jika Nabi sudah menyebutnya bahawa ia tidak disukai, maka hukumnya adalah makruh untuk kita bersendawa dengan kuat. Akan tetapi hukum ini tidak termaktub kepada orang yang memang berpenyakit.

Secara tersiratnya, jika boleh kita jauhkan sendawa daripada orang kerana ada kalanya sendawa itu boleh mengundang bau yang mengganggu. Apatah lagi jika ia perkara yang dapat menyakiti orang, maka ia jelas sesuatu perbuatan yang tidak baik, walaupun kita menganggap sendawa sekadar perkara yang remeh.

Walau bagaimanapun, dengan sendawa sekurang-kurangnya dapat mengingatkan orang yang alpa untuk bersyukur dan mengucapkan Alhamdulillah. Walaupun sebenarnya kita tidak perlu menunggu sehingga sendawa untuk ucap Alhamdulillah namun sendawa dapat mengingati orang yang lalai untuk bersyukur.

Sendawa Dalam Solat

Isu ini mempunyai perbahasannya yang tersendiri di sisi para fuqaha dari sudut adakah sendawa itu menyebabkan terbatalnya solat seseorang atau tidak.

Secara asasnya, sendawa tidaklah termasuk dalam perkara yang membatalkan solat seperti yang dijelaskan dalam beberapa riwayat yang sahih. Ini bermakna, tidak terdapat petunjuk syarak yang menyatakan bahawa sendawa itu menyebabkan solat pelakunya terbatal.

Namun, ada sebahagian fuqaha melakukan qiyas dengan mengatakan bahawa sekiranya di luar solat pun Rasulullah S.A.W menegah perbuatan sendawa maka apatah lagi di dalam solat.

Antara adab dalam bersendawa ialah merendahkan suara, tidak menghembuskan udara sendawa ke arah wajah orang lain, tidak di hadapan khalayak ramai dan sebagainya.

Semoga bermanfaat!

**

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Sumber : utusantv, muftiwp

Published by
Nana