Kebanjiran kepelbagaian menu di media sosial membuatkan sesetengah dari kita amat teruja mencuba resipi baru. Dengan ‘persembahan’ nampak menarik selain rasanya sedap banyak resipi-resipi dikongsikan. Bahkan, menu masakan berasaskan keju juga sering menjadi pilihan kerana rasanya yang amat sedap.
Namun di sebalik keterujaan kita membuat resipi menggunakan keju, ada satu pesanan dari chef terkenal, Chef Norzailina Nordin yang memaklumkan ada sebahagian keju diperbuat dari usus binatang yang tidak boleh umat islam sentuh iaitu khinzir.
Baca perkongsiannya, semoga kita lebih berhati-hati dalam memilih keju untuk masakan kerana yang halal itu amat dituntut kita mencarinya.
Saya bimbang bila tengok orang Islam beli keju tanpa membaca bahan-bahan yang terkandung di dalamnya atau sekiranya ada logo Halal negara pengeluar keju itu. Terdapat pelbagai jenis keju dijual di pasaraya. Jadi, bagaimana memilih yang HALAL?
* Pastikan ada logo Halal dari pengeluar di negara berkenaan. Contohnya, keju dari Australia mesti ada logo Australian Halal Board. Begitu juga keju dari France, New Zealand dan lain-lain.
* Rennet – bahan yang digunakan bagi menukar susu kepada pepejal keju. Biasanya ia diperbuat daripada bahagian dalaman perut binatang seperti lembu dan sebagainya. Jikalau lembu tidak disembelih mengikut Islam, bermakna ia tidak Halal dimakan. Kebanyakan keju dari Eropah menggunakan rennet daripada binatang. Bovine Rennet adalah rennet dari perut lembu. Porcine dari khinzir (pig/swine).
Hanya pilih rennet:
– microbial rennet (diperbuat daripada microbes, termasuk fungsi dan bakteria TETAPI ada juga yang dibiak daripada sumber binatang, sila tengok tanda Halal)
– non-animal rennet (diperbuat daripada bahan kimia lain atau sumber bukan binatang)
– vegetable rennet (diproses daripada sumber tumbuh-tumbuhan)
Selain rennet, keju juga diperbuat dengan:
– proses pemerapan (fermentation)
– menggunakan cuka dan jus lemon (asid) terutama untuk pembuatan keju vegan
Fakta Penting:
1. Keju lembut (soft cheeses) seperti krim keju tidak menggunakan rennet dalam pembuatannya.
- Baca setiap paket keju yang dibeli kerana ia mungkin Halal dalam bentuk sebuku (block) tetapi tidak Halal dalam paket yang sudah diparut (ready grated).
- Keju dalam bentuk serbuk (kering) seperti Parmesan juga mungkin tidak Halal, jadi, berhati-hatilah selalu. Parmesan sering dihidangkan di restoran bersama Caesar Salad atau Spaghetti Bolognese.