‘Hayat’ Maghribi Di Piala Dunia Berterusan! Tangisan Ronaldo Mengiringi Jalan Keluar Portugal

Share

Di saat ramai pemerhati sukan meramalkan hayat dan tuah Maghribi di Piala Dunia 2022 akan tamat pada peringkat suku akhir, pasukan Atlas Lions itu membuktikan yang sebaliknya setelah berjaya mengenepikan juara EURO 2016, Portugal 1-0 dalam perlawanan yang berakhir jam 1 pagi tadi.

Maghribi sekaligus menjadi pasukan pertama dari benua Afrika untuk melangkah ke pusingan separuh akhir dalam sejarah kejohanan tersebut susulan jaringan tunggal Youssef En-Nesyri.

Detik bersejarah ini disaksikan oleh Stadium Al Thumama biarpun masing-masing bermain agak selamat pada permulaan permainan.

Maghribi terutamanya cuba mengekang kemaraan pemain Portugal daripada menghasilkan peluang di gawang gol. Para pemainya diakui bergerak secara penuh berdisplin dan strategi tersebut terbukti berjaya dalam lapan perlawanan terakhir Maghribi apabila mereka sekarar dibolosi satu gol sahaja.

Portugal yang terus memberi tekanan sepanjang separuh masa pertama masih gagal membolosi gol Maghribi dan hanya selepas itu, mereka memulakan serangan.

Hantaran silang Yahia Attiyat Allah gagal dibaca penjaga gol Portugal, Diago Costa sehingga bola berjaya ditampan Youssef En-Nesyri yang menanduk masuk bola bagi menghasilkan jaringan tunggal perlawanan ketiga peringkat suku akhir ini.

Pemain kelab Manchester United, Bruno Fernandes hampir mendapatkan jaringan penyamaan namun bola sekadar melepasi palang gol. Kapten pasukan, Cristiano Ronaldo hanya dimasukkan selepas Portugal buntu mendapatkan jaringan namun kehadiran pemain paling popular di Instagram itu dilihat tidak membantu.

Selepas wisel penamat dibunyikan, Ronaldo tidak dapat menyembunyikan rasa sedih di atas kegagalan keempat berturut-turut Portugal untuk mara ke separuh akhir Piala Dunia sejak 2010.

Pencapaian terbaik Portugal sepanjang 52 tahun lalu menyertai Piala Dunia adalah sewaktu edisi 2006 di Jerman di mana mereka menempatkan diri di kedudukan keempat terbaik.

Kini, Maghribi perlu menunggu keputusan perlawanan antara England dan Perancis pada jam 3 pagi ini untuk menentukan lawan mereka di separuh akhir nanti.

Published by
FZ