Hebat! Jurutera Muda Malaysia Ini Diiktiraf NASA Untuk Rekaan Tandas

Share

 

Setelah kali terakhir manusia mendarat di atas permukaan bulan pada tahun 1969, kini Pentadbiran Aeronautif & Angkasa Kebangsaan ataupun NASA sedang merangka perancangan untuk mengembalikan tersebut bagi tahun 2024.

Dikenali sebagai misi NASA Artemis Mission, NASA baru-baru ini telah menganjurkan satu pertandingan terbuka bernama The Lunar Loo Challenge untuk menerima penyertaan bagi rekaan tandas di angkasa lepas.

Walaupun kedengaran seperti remeh, rekaan tandas bagi kegunaan angkasawan adalah sama pentingnya dengan keperluan makan dan minum harian mereka. Bukan satu tugas mudah untuk mencipta tandas dalam kawasan tanpa tarikan graviti dan ia memerlukan kepakaran dan ketelitian sang pereka.

Sumber: NASA.

Untuk misi ke bulan kali ini, program terbaru NASA yang dikenali sebagai Human Landing System Program ini sedang mencari peranti dan teknologi generasi baharu yang lebih kecil saiznya, lebih efisien dan mampu digunakan dengan baik dalam situasi microgravity dan lunar gravity di bulan nanti.

Seperti yang dijangka, Lunar Loo Challenge telah menerima sambutan yang amat menggalakkan iaitu lebih daripada 2000 penyertaan dari seluruh dunia untuk mereka bentuk tandas bagi angkasawan.

Ini termasuklah penyertaan daripada seorang peserta dari Malaysia bernama Kevin Lim Chin Seong.

Kevin di hadapan rekaannya. Sumber Foto: FMT.

Jurutera muda itu telah mengharumkan nama negara setelah terpilih sebagai pemenang honourable mention bagi rekaan tandas cemerlang oleh NASA. Dalam temuramahnya bersama rakan media di Free Malaysia Today, Kevin berkongsi bahawa dia sudahpun mempunyai idea rekaan setelah membaca mengenai syarat-syarat penyertaan pertandingan ini.

“Saya mengambil masa 2 bulan untuk menulis, mengira dan mencipta idea yang boleh berfungsi dengan mudah. Dalam tempoh itu, saya perlu melalui beberapa peringkat pengiraan bagi rekaan ini sebelum saya merealisasikannya menggunakan software Computer-Aided Design (Auto-CAD) bagi melihat sama ada ia boleh berfungsi pada tahap terbaik.

“Saya ingin memastikan rekaannya mudah untuk digunakan oleh angkasawan di angkasa lepas kelak,” katanya yang gembira dan bersyukur dengan penghargaan oleh NASA ini.

Sijil penghargaan yang diterima oleh Kevin. Sumber Foto: FMT.

Tambahnya, pengalaman mereka bentuk tandas ini telah memberikannya inspirasi untuk perancangan kerjayanya dalam sektor R&D (research & development).

Published by
FZ