Sektor pelancongan domestik yang sememangnya terukk ‘dibadai’ pandemik COVID-19 sepanjang setahun setengah ini. Setelah ia dibuka untuk seketika waktu pada akhir tahun lalu, penggiat industri pelancongan di Malaysia kembali buntu setelah jumlah kes baharu konsisten meningkat dari hari ke hari.
Benar, jumlah kes tersebut masih berada pada paras membimbangkan dan tidak menunjukkan tanda akan menurun secara drastik dari angka 20,000 kes sehari.
Namun atas dasar tidak mahu membiarkan industri ini tenat; dan melihatkan situasi di negeri Sembilan yang tidaklah seteruk negeri-negeri lain, kerajaan negeri telah membenarkan pembukaan semula pantai Port Dickson bagi pengunjung dalam negeri berstatus Fasa Dua ini.
Beberapa bulan yang sepi bertukar meriah apabila ia mula dibuka semalam. Kehadiran pengunjung yang ingin beriadah pada hujung minggu setelah lama ‘terkurung’ di rumah dan para peniaga yang mula berniaga menunjukkan perkembangan positif di Port Dickson.
Menurut tinjauan media, keadaan di sana selamat dan tidak menampakkan pengunjung berkumpul beramai-ramai. Mereka sedar akan tanggungjawab menjaga penjarakan fizikal antara satu sama lain dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan setelah lebih setahun kita hidup dalam norma baharu.
Dalam pada itu, golongan pengusaha ternakan kupang di Port Dickson juga menyambut baik kelonggaran yang diberikan ini. Apatah lagi sekarang merupakan musim ‘pesta kupang’ di sekitar Pasir Panjang (lokasi resort terkenal, Lexis Hibiscus). Dalam masa seminggu ini, pengusaha kupang berkongsi mereka boleh mendapatkan 40 hingga 50 kilogram kupang dalam masa sehari menggunakan pancang.
Ia juga membantu peniaga restoran di sana untuk memenuhi permintaan dan rasa gian pengunjung yang ingin merasai kupang segar.
REMAJA berpendapat jumlah pengunjung ini akan terus meningkat sempena cuti Hari Kemerdekaan pada hari Selasa ini. Penduduk Negeri Sembilan tentunya akan mengambil kesempatan ini untuk beriadah dengan ahli keluarga mereka. Pastikan korang terus menjaga SOP ya!