
Terbaru, kumpulan K-Pop terkenal, HIGHLIGHT membuat kejutan buat para peminat apabila muncul dengan lagu terbaru berjudul ‘Endless Ending’ sekaligus tampil dengan nama asal mereka sebelum ini iaitu BEAST.
Ini merupakan kemunculan semula mereka secara rasmi sebagai BEAST selepas hampir sembilan tahun.
Menurut kesemua anggota asal kumpulan iaitu Yoon Doo Joon, Yang Yoseob, Lee Gikwang, dan Son Dongwoon, mereka mengambil keputusan untuk merilis lagu ini selepas berjaya mencapai persetujuan mengenai hak penggunaan nama “BEAST” pada tahun lalu.
Selain itu, ia juga menandakan titik penting dalam sejarah mereka selepas melalui pelbagai fasa dalam industri.
Dalam pada itu, lagu ‘Endless Ending’ menjadi single pertama di bawah nama BEAST sejak album terakhir ‘Highlight’ yang dilancarkan pada tahun 2016 lalu. Lagu ini turut berperanan sebagai pembuka tirai kepada album mini ke-6 yang dijadualkan keluar tidak lama lagi.
Menurut kenyataan rasmi, lagu ini bukan sekadar karya muzik biasa. Namun ia juga satu bentuk penghormatan terhadap memori silam dan hubungan para anggota bersama peminat yang sentiasa setia menyokong sejak era BEAST dahulu.
Menerusi melodi emosional dan vokal matang, kemunculan ‘Endless Ending’ membawa mesej ikhlas daripada BEAST kepada peminat, menandakan satu kesinambungan antara masa lalu dan kini mereka sebagai pemuzik.
Sementara itu, karya kali ini memperlihatkan kematangan muzik BEAST, yang kini tampil lebih dewasa namun masih mengekalkan identiti kuat yang pernah melonjakkan nama mereka sebagai salah satu kumpulan lelaki paling berpengaruh dalam K-Pop.
Terdahulu, BEAST mula meraih populariti menerusi lagu terkenal seperti Bad Girl, Fiction, Shock, Mystery, dan Beautiful Night.
Sekadar info, lagu ‘Endless Ending’ kini boleh didengar di semua platform penstriman bermula 16 April, manakala album mini ‘From Real to Surreal’ akan dilancarkan secara rasmi pada 28 April ini.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.