Hilang Kewarasan Kerana Desakan Hidup, Ustazah Asma’ Kongsi Amalan Bila Diuji Kesempitan

Share

Hari ini kebanyakan media sosial memberikan “laluan” kepada kisah seorang lelaki bertindak diluar kewarasan apabila sanggup mengambil nyawa isteri dan anak kecilnya kerana desakan hidup.

Daripada laporan Sinar Harian, didapati dalam kejadian yang berlaku pada jam 12 tengah hari semalam, mangsa Hajar Nursyahirin Rosman, 26, dan bayinya Hans Mohd Thakif Amir ditemui berlumuran darah dengan kesan kelar pada leher di luar rumah teres didiami pasangan muda itu.

Tempat kejadian. Foto Via Sinar Harian

Malah, punca pemuda tersebut bertindak demikian dikatakan kerana mengalami tekanan dan desakan hidupPastinya membaca berita seperti ini membuatkan kita berasa kecewa dan sedih, apa lagi perasaan ahli keluarga yang berhadapan kejadian tersebut. Perasaan yang sama juga turut dirasai Ustazah Asma yang tampil meluahkan rasa, mendokan dan berkongsi amalan yang boleh dilakukan jika berhadapan kesempitan hidup di laman Facebooknya.

Malah, menurut pendakwah bebas ini ada beberapa doa dan amalan yang perlu diamalkan.

“Ada sebuah doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW supaya ALLAH SWT hilangkan segala kesedihan yang kita alami, bebanan hutang, rasa gelisah, dan lain-lain.

“Diceritakan oleh Abu Sa’id al-Khudiri R.A satu hari Baginda SAW berkata kepada Abu Umamah yang sedang dalam kesedihan, “Mahukah aku ajarkan doa yang apabila kamu ucapkan maka Allah SWT akan menghilangkan kegundahanmu dan melunaskan hutangmu?” Dia berkata, “Ya wahai Rasulullah”.

قَالَ قُلْ إِذَا أَصْبَحْتَ وَإِذَا أَمْسَيْتَ: {اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ} قَالَ فَفَعَلْتُ ذَلِكَ فَأَذْهَبَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ هَمِّي وَقَضَى عَنِّي دَيْنِي

“Maksudnya: Baginda bersabda, “Apabila kamu berada di pagi dan petang hari maka ucapkanlah, “Ya ALLAH, aku berlindung kepada-Mu daripada kegundahan dan kesedihan, dan aku berlindung kepada-Mu daripada kelemahan dan kemalasan, dan aku berlindung kepada-Mu daripada sifat penakut dan bakhil, dan aku berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan daripada orang lain.”

“Beliau (Abu Umamah R.A) berkata: “Maka aku pun melakukannya dan ternyata ALLAH SWT menghilangkan kegundahanku dan melunaskan hutangku.” (HR Abu Daud, hadis Hasan)

“Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarhamah Hajar Nursyahirin, khususnya buat ibu ayah atas kehilangan anak dan cucu.

“Terus kuat dan bersabar, semoga arwah ditempatkan bersama orang soleh lalu dihimpunkan di dalam Syurga tanpa hisab.

“Semoga kita semua dikurniakan Husnul Khatimah saat menghadapi kematian nanti,” doanya.

Justeru, Ustazah Asma’ berkongsi doa yang boleh diamalkan agar diberi pengakhiran yang baik;

اللَهُمَّ اخْتِمْ لنا بِحُسْنِ الْخَاتِمَة وَلاَ تَخْتِمْ عَلَيْنَا بِسُوءِ الخَاتِمَة

Maksudnya: “Ya Allah, akhirilah hidup kami dengan pengakhiran yang baik dan jangan Engkau akhiri hidup kami dengan pengakhiran yang buruk.”

Sama-sama kita ambil pengajaran dan ikhtibar dari apa yang telah berlaku.

Sumber: Facebook Ustazah Asma’ Harun, Sinar Harian

**

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Nana