Hilang Tangan Sebelum Duduki SPM, Jaguh Olahraga Ini Harap Kisahnya Suntik Semangat

Share

Siapa sangka , pemuda ini mampu bangkit selepas tragedi hitam meragut tangan kirinya  sembilan tahun lepas akibat kemalangan.

ARTIKEL BERKAITAN : Bukan Saja Kacak, Atlet Paralimpik 16 Tahun Ini Amat Positif Walaupun Berkaki Prostetik

Muhamad Ashraf Mohamad Haisham bukan nama asing dalam sukan olahraga paralimpik. Atlet olahraga negara ini menjadi kebanggaan negara dengan kejayaan meraih perak di temasya Sukan Para Asia 2018, selain empat emas, dua perak dan satu rekod Sukan Para ASEAN (APG) setakat ini.

Acara 1,500m lelaki (T46) pada temasya Sukan Para ASEAN 2022 Solo di Stadium Manahan hari ini.
(Foto Via Sinar Harian)

Pada hari ini, beliau mengungguli acara 1,500m lelaki T46 (kecacatan anggota) dengan mencatatkan 4 minit dan 33.180 saat di Stadium Manahan, manakala pesaing dari Vietnam Tran Van (4:34.300s) dan King James (4:34.880s) dari Filipina masing-masing mendapat perak dan gangsa.

Ia merupakan pingat keduanya di Solo, selepas merangkul perak acara 5,000m semalam dalam penampilan pertama bagi acara itu.

Keyakinan Untuk Teruskan Hidup

Siapa sangka disebalik kejayaannya, pemuda ini pernah mengakui hampir hilang semangat dan setahun tidak keluar dari rumah akibat kehilangan tangan kirinya, iaitu tangan dominannya lebih kurang 10 bulan sebelum peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Malah, Muhamad Ashraf mengatakan kehidupan menjadi sangat mencabar untuk dua tahun seterusnya.

“Mulanya agak susah, saya tidak ke sekolah kerana malu dengan tangan sebelah sebab kawan-kawan yang lain normal. Saya pergi ke (pusat) rehabilitasi, belajar untuk menulis dengan tangan kanan selama enam bulan untuk menduduki SPM.

“Apabila saya menyertai sukan para, (sukan bagi orang kurang upaya – OKU), saya dapat melihat ada yang lebih teruk dari saya, lumpuh, berkerusi roda… Dari situ saya dapat keyakinan untuk meneruskan hidup. Jadi saya nak pesan kepada OKU yang rasa rendah diri, cuba tonjolkan diri, mungkin ada bakat terpendam yang belum terserlah.

“Apabila kita keluar bergaul dengan orang senasib, kita mendapat motivasi yang lebih. Saya dah lalui perkara ini, jadi saya cuba tonjolkan diri untuk memberi semangat kepada mereka yang senasib,” katanya yang bakal mempertahankan emas acara 800m esok.

Pada penampilan pertamanya di APG Singapura 2015, beliau meraih emas bagi acara 800m dengan rekod kejohanan 2:03.67s dan perak bagi 1,500m, manakala kali terakhir APG diadakan di Kuala Lumpur pada 2017, Muhamad Ashraf menang emas acara 800m dan 1,500m, manakala perak bagi acara 400m.

Tak sabar rasanya untuk melihat Asyraf bertanding nanti!

ARTIKEL BERKAITAN : Selepas Lee Zii Jia, Seorang Lagi Pemain Badminton Banggakan Negara Jadi Juara – REMAJA

Sumber : 1

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Published by
Nana