Korang nak sambut tahun baru sambil ditemani kenderaan baru? Sekarang semuanya bakal jadi kenyataan!
Semalam, Honda telah mengeluarkan satu model baru Honda City Hatchback menarik bagi mengantikan model Honda Jazz yang tidak lagi ditawarkan di pasaran Asia Tenggara.
Menerusi laman web rasmi Honda, sekeping foto teaser telah pun didedahkan dengan menampilkan bahagian sudut bumper depan dengan lampu LED vertikal. Cun habis guys!
Model hatchback ini ditawarkan untuk pasaran Malaysia dengan enjin petrol tiga varian iaitu 1.5 S, 1.5 E dan 1.5 V. Honda Malaysia juga bakal memperkenalkan model hatchback dikuasakan enjin petrol elektrik i-MMD, e:HEV RS hibrid sekitar pada awal tahun hadapan.
Harga-harga yang diumumkan oleh pihak Honda Malaysia adalah harga kenderaan atas jalan tanpa insurans termasuk rebat cukai jualan dan perkhidmatan (SST), waranti mileage tanpa had selama lima tahun dan 5 kali kos buruh percuma untuk servis.
Manakala untuk model e:HEV RS hibrid pula, Honda Malaysia memberikan waranti selama lapan tahun, mileage tanpa had untuk bateri lithium-ionnya.
Untuk info, model Honda Jazz terakhir yang dibuat di Malaysia telah meninggalkan kilang pengeluaran pada pertengahan Oktober lalu.
Bagi ketiga-tiga varian petrol, model hatchback ini dikuasakan dengan 1.5-Liter DOHC i-VTEC 4-Silinder yang menghasilkan 119hp, 145Nm tork, dipadankan dengan kotak gear CVT automatik dan menggunakan pacuan roda hadapan (front wheel drive / FWD).
Manakala untuk varian hibrid pula, ia dikuasakan dengan unit rangkaian kuasa hibird i-MMD yang mempunyai enjin 1.5 liter i-VTEC kitaran-Atkinson 96hp dan 127 Nm tork, serta dua motor elektrik iaitu generator motor unit (MGU).
Teknologi MGU berfungsi sebagai motor penghidup dan pengecas semula bateri hibrid, bersama satu lagi motor utama yang digelar sebagai Traction Motor.
Pasal warna, jangan risau kerana ia didatangkan dengan lima pilihan warna, Ignite Red serta Meteorite Grey Metallic sebagai warna baharu dan Platinum White, Crystal Black Pearl dan Lunar Silver Metallic sama seperti ditawarkan pada model City Sedan.
Memetik laporan Paultan.org, pihak Honda Malaysia telah menerima kira-kira lebih 2,000 tempahan sejak tempahan untuk model hatchback ini dibuka kepada orang ramai pada awal November lepas.
Bagi yang ingin mendapatkan maklumat lanjut tentang model Honda City Hatchback ini, bolehlah melawat mana-mana cawangan pusat pameran dan jual berhampiran anda dalam masa terdekat atau layari laman web rasmi Honda Malaysia di sini.
Sumber : Honda , Paultan.org