Yusry Abdul Halim yang merupakan pelakon dan pengarah tempatan telah pun dipilih menjadi salah seorang juri tetap bagi Pencarian Dewi Remaja 2019.
Mempunyai pengalaman lebih kurang 28 tahun dalam industri hiburan tanah air, sudah tentu banyak ilmu yang akan dikongsi oleh individu ini kepada barisan finalis Dewi Remaja 2019 nanti.
Berpeluang menjadi juri pada minggu kedua sesi uji bakat Dewi Remaja yang lalu, agak-agaknya apa yang dinilai oleh selebriti ini dalam memilih calon peserta yang hadir tempoh hari?
“Sebenarnya, kami dah pun berbincang dengan pihak pengurusan untuk memilih individu yang mempunyai karakter dan personaliti yang akan mewarnai sepanjang program ini nanti. Kalau nak cakap cantik, ramai yang datang memang cantik, jadi dalam ramai-ramai tu saya lebih memilih mereka yang berpersonaliti menarik dan berbeza daripada individu lain,” jelas Yusry.
Menyentuh soal peluang untuk para finalis menceburi bidang lakonan selepas ini, Yusry mengakui bahawa mereka yang sudah terpilih sememangnya mempunyai kelebihan daripada individu yang tiada pengalaman langsung.
“Perbezaannya dengan peserta Dewi Remaja ini, mereka sudah belajar untuk lebih yakin di depan kamera dan beraksi di atas pentas, jadi kebanyakan yang pernah bekerjasama dengan saya, mereka memang dah ada keyakinan diri. Dan itu yang paling penting sebab kalau ada bakat saja tapi tak ada keyakinan diri pun tak boleh juga,”
“So, apa yang saya dapat lihat, mereka memang dah ada kelebihan tersebut. Tipulah kalau tak rasa gemuruh dan takut langsung bila berdepan dengan kamera, cuma setidaknya mereka sudah ada pengalaman dan dapat membiasakan diri,” tamba Yusry lagi.
Abaikan kontroversi remeh
Sebagai senior dalam industri hiburan, Yusry juga turut memberi tip bagaimana untuk menghadapi kontroversi dan kecaman daripada netizen.
“Sepanjang 28 tahun berkecimpung dalam dunia seni, ada juga kontroversi atau gosip liar yang keluar, terutamanya zaman media sosial sekarang. Berita akan cepat sampai dan cepat basi. So, ada sebarang gosip berkaitan dengan keluarga dan maruah, korang boleh betulkan,”
“Tapi kalau perkara tu sekadar usikan manja, just let it go. Tak payah layan sebab kalau you layan perkara tu mungkin akan jadi lebih panjang dan rumit,” katanya.
Paling penting jaga disiplin
“Saya dah banyak kali shooting dan menjadi pengarah, pelakon. Apa yang saya lihat, selalunya yang lambat bukan artis lama sebab mereka dah tahu kalau datang lambat, mereka akan membuang masa ramai individu lain. Tapi, pendatang baru tak nampak perkara ini semua. Bukan semua, cuma ada juga segelintir yang masih bersikap seperti itu,”
“Siapa yang nak bertahan dalam industri, disiplin perlu diutamakan. Korang kena ada passion
. Jangan jadikan wang sebagai matlamat utama, sebaliknya cari peluang yang ada berdasarkan passion korang. Barulah korang akan buat secara bersungguh-sungguh,”“Apa-apa pun, tahniah saya ucapkan kepada 12 finalis yang terpilih. Kenali diri sendiri, cari kelebihan diri untuk marketkan diri korang dalam industri, supaya korang tahu apa kelebihan yang ada pada diri korang, yang tak sama dengan individu lain,” jelasnya mengakhiri perbualan.
Tak sabar nak tengok Yusry komen dalam Pencarian Dewi Remaja 2019 nanti. Jangan lupa saksikan program ini yang akan bersiaran bermula 26 Oktober di saluran Astro Ria dan Ria HD.