Seringkali apabila kita hendak merehatkan minda dengan merancang percutian berbentuk weekend getaway, ada kebarangkalian perancangan itu terbantut disebabkan faktor haiwan peliharaan yang terpaksa ditinggalkan di rumah.
Hendak dibawa ke klinik veterinar, mahal pula kosnya mengalahkan kos percutian manusia. Oopss..
Justeru apabila diberitahu mengenai kewujudan polisi baharu oleh sebua hotel bertaraf empat bintang yang membenarkan haiwan peliharaan untuk turut serta menginap dalam kamar hotel, tentulah ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenainya!
REMAJA baru-baru ini berkesempatan mengunjungi hotel Hyatt Place Kuala Lumpur yang terletak di Bukit Jalil (betul-betul bersebelahan dengan pusat beli-belah Pavilion Bukit Jalil) sempena pembukaannya kepada Si Bulus.
Sekilas pandang pada kawasan lobi, kaunter resepsi dan restoran di sini, ia jelas merupakan sebuah hotel berkonsep urban; bersesuaian dengan lokasinya yang mudah menarik pengunjung yang inginkan sebuah oasis dengan tengah kota.
Namun apa yang lebih utama adalah ruangnya yang cukup luas dan menyelesakan buat pemilik haiwan peliharaan terutamanya pemilik kucing yang hadir dengan stroller, sangkar serta bag kucing yang boleh memakan ruang terutamanya sewaktu proses daftar masuk ke bilik.
Menurut wakil kepada Hyatt Place Kuala Lumpur (Bukit Jalil) yang ditemui sewaktu sidang media dilangsungkan, hotel tersebut menyediakan aras berbeza buat penghuni yang membawa bersama haiwan peliharaan mereka. Ini sekaligus menjamin kesejahteraan penghuni kamar yang lain daripada risiko seperti alergi mahupun yang enggan dihampiri oleh Si Bulus.
Di samping itu, Hyatt Place juga mengehadkan polisi penginapan ini kepada haiwan-haiwan peliharaan seperti kucing, tikus belanda, arnab dan burung yang mempunyai berat di bawah 9 kilogram.
Setiap kamar hotel juga dibenarkan membawa masuk hanya dua haiwan peliharaan; bersesuaianlah dengan saiz kamar yang disediakan. Selain itu, penginap juga perlu memastikan haiwan peliharaan berada dalam kondisi kesihatan yang bagus dan tidak berdepan penyakit berjangkit yang boleh membawa mudarat kepada haiwan serta penginap lain.
Haiwan peliharaan seperti anjing dan haiwan reptilia seperti ular pula tidak dibenarkan untuk dibawa masuk apatah lagi menginap di hotel ini atas faktor sensitiviti masyarakat Malaysia yang majoritinya terdiri daripada yang beragama Islam.
*
REMAJA berkesempatan untuk melawat ke tiga buah kamar berbeza yang ditempatkan di Hyatt Place Kuala Lumpur (Bukit Jalil). Terpulang kepada pemilik haiwan peliharaan untuk memilih sama ada untuk menginap di kamar bersaiz katil king, kamar dengan dua katil bersaiz single mahupun di kamar suite yang lengkap dengan ruang tamu serta powder room berasingan. Menariknya, harga penginapan yang ditawarkan cukup berbaloi dengan kemudahan yang ada.
Turut disediakan adalah perkhidmatan membersih kamar atau ‘cleaning fee’ berdasarkan jumlah hari penginapan korang yang perlu dikemukakan hanya sekali sepanjang berada di sini. Sebagai contoh:
1-7 malam : RM400++
8-14 malam : RM600++
15-21 malam : RM800++
22-30 malam : RM1000++
Perkhidmatan membersih kamar ini hanya akan dilakukan sejurus korang mendaftar keluar daripada hotel. Cumanya, Hyatt Place Kuala Lumpur (Bukit Jalil) tidak membekalkan makanan, keperluan asas, alat pencuci dan keperluan tamnbahan untuk haiwan peliharaan. Sebagai pemiliknya, korang harus membawa kesemua itu dari ruma sendiri.
Korang juga tidak perlu risau dengan keadaan haiwan peliharaan masing-masing memandangkan Hyatt Place Kuala Lumpur (Bukit Jalil) terletak kira-kira lima minit perjalanan dari Bukit Jalil Veterinary Clinic & Sugery sekiranya sesuatu yang serius berlaku ke atas Si Comel. Malah di sini juga terdapat stor khusus haiwan peliharaan bernama Hyper Pets jika korang perlu membeli sesuatu buang si manja.
Bukan sekadar itu, korang juga boleh berjalan dari bangunan hotel ke Taman Rekreasi Bukit Jalil bersama haiwan peliharaan di mana mereka bebas berlarian selepas seharian berada dalam kawasan bilik hotel (haiwan peliharaan tidak dibenarkan di kawasan awam termasuklah di aras kolam renang, bar mahupun restoran).
Korang rasakan ingin cuba menginap bersama haiwan peliharaan? Why not? Hyatt Place Kuala Lumpur (Bukit Jalil) adalah pilihan yang tepat untuk cuba pengalaman baharu ini.
BACA LAGI: Lagi Manjalah Kucing! Koleksi Haiwan Peliharaan Oleh IKEA Kini Ada Di Malaysia – REMAJA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.