House Of Gucci Bongkar Kisah Golongan Sosialit Pereka Fesyen Terkenal Antarabangsa

Share

Istimewa buat peminat jenama mewah Gucci, korang boleh menyaksikan kisah sejarah kehidupan pereka fesyen antarabangsa itu menerusi filem yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.

Dibintangi oleh Lady Gaga, Adam Driver, Jared Leto, Jeremy Irons, Jack Huston, Salma Hayek dan Al Pacino filem ini mengisahkan tentang kisah sosialit Itali dan bekas ketua penasihat Gucci Patrizia Reggiani. Dia dijatuhkan hukuman penjara selama 29 tahun kerana merancang pembunuhan bekas suaminya, cucu kepada pereka fesyen terkenal Guccio Gucci dan pewaris empayar fesyen Gucci Mauricio Gucci.

Filem Ridley Scott ini diadaptasi daripada buku bukan fiksyen Sara G Forden yang terkenal secara meluas “The House of Gucci: A Sensational Story of Murder, Madness, Glamour, and Greed”.

Untuk pengetahuan korang, filem ini ditayangkan tanpa sari kata. Jadi, penonton harus memberikan fokus yang lebih bagi memahami jalan cerita yang berdurasi selama 2 jam 38 minit ini. Bermula dengan penceritaan bagaimana pasangan Gucci ini bertemu, penonton seterusnya dibawa menyelusuri konflik yang dihadapi oleh keluarga mereka.

Lakonan barisan pelakon yang membintangi filem ini wajar diberi pujian, lebih-lebih lagi lakonan Lady Gaga yang dilihat sudah bertambah baik. Watak sebagai seorang gadis biasa yang kemudiannya menjadi menantu kepada orang kaya, Gaga berjaya merealisasikan karakter yang diberi dengan baik.

Namun begitu, tidak dinafikan terdapat kekurangan yang kami rasakan sewaktu menonton House of Gucci. Durasi yang agak panjang dengan susunan cerita terlalu perlahan menjadikan penonton berasa agak bosan. Di akhir cerita pula ditamatkan begitu mudah dengan hanya menulis kapsyen tentang apa yang terjadi kepada watak-watak dalam cerita itu.

Kami faham mungkin kerana jalan ceritanya yang panjang dan tidak dapat diceritakan sekali gus dalam sebuah filem. Jadi garapannya sedikit lemah dan membuatkan penonton tidak puas untuk melihat apa sebenarnya yang berlaku pada watak utama filem ini.

Nah, mungkin masing-masing mempunyai pendapat yang berbeza. Jadi adalah lebih baik sekiranya korang menonton sendiri House of Gucci di pawagam bermula 13 Januari depan.

**

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Noor Ain Norman