Hujan lebat berterusan yang melanda Lembah Klang sejak semalam telah mengakibatkan beberapa kawasan landai dikejutkan dengan paras air yang mencecah ketinggian satu meter di sesetengah kawasan.
Setakat jam 2 petang tadi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor telah memaklumkan seramai 3,086 mangsa banjir setakat di negeri Selangor sahaja telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.
Ini termasuklah di daerah Klang, Kuala Langat dan Sepang yang terjejas. Di Klang sahaja, 20 buah pusat pemindahan sementara telah dibuka (buat masa ini) dengan seramai 2,604 mangsa ditempatkan di sana. Sementara itu, 10 lagi lokasi telah dibuka di daerah Sepang dan Kuala Langat.
Jabatan Meteorologi Malaysia telah memberi amaran kepada penduduk di Selangor mengenai hujan lebat yang dijangka bakal berterusan untuk satu tempoh yang tidak dimaklumkan.
Senario ini bukan saja melanda Lembah Klang. Sumber terdekat melaporkan kepada REMAJA mengenai keadaan angin kencang dan hujan tanpa henti di beberapa negeri lain seperti di Pantai Timur, Kedah dan Pulau Pinang.
Biarpun ini bukanlah senario baharu kerana kita sudah terbiasa dengan keadaan musim tengkujuh pada setiap akhir tahun.
Namun, jarang sekali ia melanda negeri-negeri selain Pantai Timur pada skala ini. Di platform media sosial, rakyat mengeluh apabila harta benda di kediaman dan kenderaan mereka ada yang terjejas. Sudah tentu, REMAJA juga berharap agar cuaca akan pulih dengan segera.
*
REMAJA dalam pada itu juga tertarik dengan hantaran warganet di media sosial yang memperkatakan mengenai betapa bertuahnya bumi Malaysia ini.
Walaupun banjir kilat direkodkan kerana cuaca tidak menentu pada minggu ini, Malaysia masih dianggap bernasib baik kerana mempunyai kelebihan geografi yang terletak di luar Lingkaran Api Pasifik dan laluan angin taufan.
Di saat Filipina sekarang sedang dilanda Taufan Rai, Malaysia terutamanya negeri Sabah masih terselamat daripada perlu berdepan bencana tersebut walaupun terletak bersebelahan.
Menurut laporan, angka korban Taufan Rai di Filipina hari ini
telah meningkat kepada 23 mangsa dan kemusnahan infrastruktur teruk dicatatkan di negara itu.Dengan angin kencang mencecah kelajuan 150 hingga 195 kilometer/sejam, ini merupakan taufan terkuat yang pernah melanda Filipina pada tahun 2021 sehinggakan lebih 300,000 orang penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka terutamanya yang menetap di kawasan pantai.
Taufan Rai dijangka akan melintasi Laut China Selatan esok dan seterusnya menuju ke arah Vietnam pula.
Jika korang masih ingat pada April lalu, negara seberang; Indonesia juga pernah dilanda siklon tropika Seroja yang mengakibatkan banjir lumpur, tanah runtuh, angin kencang dan paling mendukacitakan, angka korban melebihi 100 mangsa.
Oleh itu, biarpun kita mengeluh mengenai kerosakan harta benda akibat banjir kilat pada kali ini; hakikatnya rakyat Malaysia boleh dianggap bertuah kerana keadaan hujan lebat dan angin kencang tidak membawa bencana yang lebih teruk dan tidak disangka-sangka.
Bak kata Pengerusi Bukan Eksekutif Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) iaitu Datuk Seri Nazir Razak sendiri yang memuat naik foto data kejadian bencana gempa bumi dan taufan di rantau Asia Tenggara selama 25 tahun yang lepas, Malaysia dilihat jelas tidak dibadai seteruk negara jiran disebabkan keadaan muka bumi negara kita yang strategik dan dilindungi.
REMAJA doakan agar kita semua terselamat daripada implikasi angin kencang yang sedang dihadapi Malaysia sekarang.
*
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.