Bagi korang yang menetap di sekitar Lembah Klang, pastinya korang perasan situasi hujan lebat yang berlaku kebelakangan ini.
Walaupun hujan berterusan membantu menurunkan suhu harian sewaktu umat Islam baru ingin melangkah masuk ke bulan Ramadan, namun dalam diam ia juga telah mengakibatkan isu banjir kilat.
Perkara ini dikongsikan oleh pemilik akaun Instagram @yuslizamn menerusi satu paparan video, hari ini.
Video direkodkan pada 23 April sekitar jam 3 petang setelah hujan lebat mulai turun di kawasan Shah Alam, Selangor.
Walaupun hujan lebat tidak kebiasaannya turun pada setiap hari, namun situasi banjir kilat seperti ini bukanlah kejadian kali pertama.
Penulis menghubungi Yusliza Mohd Noor yang juga merupakan salah seorang pemilik perniagaan kedai makan di kawasan tersebut untuk mendapatkan gambaran sebenar.
“Biasalah, Seksyen 13 kini sibuk sebagai pusat pembinaan untuk kondominium elit, kawasan perumahan baru dan sebagainya. Jadi apabila hujan lebat turun pada waktu petang, kejadian banjir kilat itu sudah menjadi kebiasaan.
“Walaupun tidak selalu terjadi, kadangkala sekali dalam tempoh 4 ke 6 bulan saja. Tetapi apabila terjadi banjir kilat seperti ini, ‘renyah’ juga pemilik kedai.
“Alhamdulillah, setakat ini paras air banjir masih belum lagi mencecah ketinggian paras kedai. Namun ia hampir berlaku. Lebih malang lagi apabila ia mengakibatkan kerosakan ribuan Ringgit di atas kerosakan kereta-kereta syarikat yang ditenggelami air,” katanya yang mengusahakan menu Nasi Paka.