Sudah jadi kebiasaan kalangan kita untuk berkongsi gambar rutin seharian dengan rakan-rakan rapat baik melalui pelbagai aplikasi media sosial terutamanya di ‘close friends’.
Ada masa gambar yang dikongsi tidak menutup aurat dengan sempurna tapi ramai menganggap ia tidak jadi masalah kerana hanya dilihat oleh sama jantina dan rakan rapat saja.
Tapi benarkah begini? Persoalan ini juga ditanyakan oleh netizen dalam soal jawab kepada Mufti Wilayah Persekutuan.
Soalan
Assalamualaikum, ustaz. Bolehkah kalau post gambar tak tutup aurat dengan sempurna macam tak pakai tudung dalam kalangan ‘close friend’ perempuan kat Instagram? Saya lihat ada kenalan yang buat macam tu. Mohon pandangan dan terima kasih.
Jawapan
Bagi menjawab persoalan di atas, hukum menghantar atau memuat naik gambar gambar dengan keadaan tidak menutup aurat adalah perkara yang dilarang dalam syarak sama ada perbuatan ini dilakukan oleh lelaki mahupun wanita.
Setiap muslim perlu ada sifat malu dan berusaha menjaga auratnya sebaik mungkin dan tidak boleh mengambil mudah akan perihal aurat sehingga menjadi tontonan golongan ajnabi. Allah SWT berfirman:
قُل لِّلۡمُؤۡمِنِينَ يَغُضُّواْ مِنۡ أَبۡصَٰرِهِمۡ وَيَحۡفَظُواْ فُرُوجَهُمۡۚ ذَٰلِكَ أَزۡكَىٰ لَهُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا يَصۡنَعُونَ (٣٠) وَقُل لِّلۡمُؤۡمِنَٰتِ يَغۡضُضۡنَ مِنۡ أَبۡصَٰرِهِنَّ وَيَحۡفَظۡنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبۡدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنۡهَاۖ
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya. Surah al-Nur (30-31)
Justeru itu, membuka aurat tanpa sebarang tujuan darurat adalah haram sama ada aurat diri sendiri atau aurat orang lain.
Kemungkinan tersebar
Walaupun gambar atau video yang dimuat naik telah dihadkan tontonannya kepada hanya yang mahram atau dalam kalangan sejantina, namun masih terdapat kemungkinan gambar itu tersebar sehingga menjadi tontonan ajnabi.
Justeru itu, sebagai langkah berjaga-jaga dan menghindarkan diri daripada fitnah, setiap orang perlu menapis setiap gambar dan perbuatan yang akan dipertontonkan kepada orang ramai.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud RA, Rasulullah SAW bersabda:
لَا تُبَاشِرُ المَرْأَةُ المَرْأَةَ، فَتَنْعَتَهَا لِزَوْجِهَا كَأَنَّهُ يَنْظُرُ إِلَيْهَا
Maksudnya: Janganlah seorang wanita bergaul dengan wanita lain, lalu wanita lain itu menceritakan kepada suaminya sehingga seakan-akan suaminya melihat wanita yang diceritakannya.[1]Riwayat al-Bukhari
Berdasarkan hadis tersebut, seorang isteri dilarang menceritakan keadaan bentuk badan wanita lain kepada suaminya kerana dikhuatiri suaminya berasa tertarik dengan sifat yang disebutkan sehingga menceraikan isterinya dan mengidamkan wanita yang diceritakan sifatnya itu.
Hadis ini merupakan hujah Imam Malik dalam menentukan piawaian sadd al-zariah iaitu menghalang perbuatan harus yang boleh membawa kepada sesuatu yang haram. (Rujuk Fath al-Bari, Imam Ibn Hajar al-Asqalani, 9/338)[2]
Kesimpulannya : Memuat naik gambar atau video yang tidak menutup aurat dengan sempurna sewajarnya dielakkan. Walaupun tontonan di media sosial boleh dihadkan dan ditetapkan kepada golongan tertentu, namun terdapat kemungkinan gambar atau video itu boleh tersebar kepada orang lain atau dikhuatiri keadaannya itu diceritakan oleh orang yang melihat kepada ajnabi.
Wallahu a’lam.
Sumber: Mufti Wilay
ARTIKEL BERKAITAN : PU Riz Titip Peringatan Buat Wanita Tidak Tutup Aurat – “Dalam Agama Ada Bahagian Dipanggil Malu Dengan Dosa”
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Artikel diambil dan diolah dari Kasgoorga.