Bulan Ramadan tahun ini memang berbeza jika mahu dibandingkan dengan sebelum ini. Tiada lagi bazar ramadan, berbuka bersama keluarga besar dan rakan tersayang dan lebih sayu apabila umat Islam tidak dapat solat tarawih berjemaah di masjid.
Walau bagaimanapun kita terpaksa akur dengan keadaan ini demi memutuskan rantaian wabak COVID-19 agar keselamatan diri masing-masing dapat dijaga.
Pada malam pertama Ramadan, tular gambar-gambar yang memaparkan hanya empat orang makmum mengikut imam solat tarawih di Masjid negara. Jemaah dilihat berdiri agak berjauhan bagi mengekalkan social distancing.
Mungkin ada di antara kita yang terfikir adakah solat berjemaah yang didirikan secara berjauhan antara satu sama lain dikira sah?
Nah, kami kongsikan kepada korang kupasan jawapan yang telah dibuat oleh Ustaz Azhar Idrus.
Hendaklah difahami bahawa rapat saf bukan syarat sah solat tapi ia termasuk perkara yang disunatkan yang dengannya jadi makin sempurna solat bukannya rapat saf itu termasuk rukun atau syarat sahnya solat.
Oleh itu jika sengaja tanpa uzur para jemaah berdiri renggang tidak merapatkan saf nescaya solat mereka tetap sah cuma makruh hukumnya sengaja merenggangkan saf tanpa sebarang darurah.
Tersebut pada Majlis Fatwa Baitul Maqdis:
Ertinya: “Telah sepakat pendapat ulamak mazhab empat bahawa setengah dari sunat-sunat solat ialah menyempurnakan saf dan menyambung saf dan jangan ada renggang antara orang yang mengerjakan solat”
Akan tetapi tiada seorang pun ulamak mazhab yang muktabar ada mengatakan bahawa merapatkan saf dan menyempurnakan saf itu itu adalah rukun atau syarat sah solat.
Oleh sebab itulah jika orang yang solat itu saling menjauh pada saf maka solatnya adalah sah dengan sepakat ulamak tetapi makruh.
Dan setengah dari yang sudah diketahui bahwa disisi fuqahak hilanglah makruh apabila ada hajat dan tiada syak bahawa menjauhkan diri pada masa kini adalah termasuk perkara hajat bahkan sudah dikira darurah sebagaimana sekarang pakar perubatan menyebut tentang bahaya berjangkit.
Maka anjuran pakar perubatan supaya menjarakkan diri kadar 2 meter ketika berjumpa dan berkumpul dengan orang lain adalah masuk dalam bab berhati-hati dan memelihara.
Dari itu maka tiada halangan dari menjarakkan diri antara orang yang solat pada saf yang satu dan tidak menjadi kesalahan mengikut pandangan pakar perubatan supaya menjarakkan diri kadar 2 meter antara setiap orang yang solat dan termasuk ia di dalam bab mengambil kira akan sebab sesuatu.” (Majlis Fatwa Baitul Maqdis)
Kesimpulannya, merapatkan saf adalah sunat dan renggang saf mengurangkan fadhilat berjemaah. Sengaja tanpa sebarang uzur renggangkan saf adalah makruh.
Jika terpaksa renggangkan saf kerana menjaga daripada berjangkit ketika berlaku wabak penyakit, maka hukumnya adalah harus.
Wallahualam.
Diharap pencerahan ini dapat memberi sedikit ilmu buat kita semua.