Jika kebiasaannya, penonton di Malaysia akan disajikan dengan pilihan drama bergenre romantik, percintaan ataupun komedi.
Demi menyuntik kelainan pada palet selera penonton tempatan, Viu Malayisa kembali lagi dengan sebuah naskah seram thriller di luar kotak yang diberikan judul Nenek Bongkok Tiga.
Sejak pertengahan tahun ini lagi, drama bersiri Nenek Bongkok Tiga sudahpun menjadi bualan penonton Malaysia disebabkan barisan pelakonnya yang rata-rata muda lagi berbakat; terdiri daripada Hun Haqeem, Sara Ali, Syafie Naswip, Meerqeen, Syazwan Zulkifly, Ashraf Muslim, Fimie Don, Rykarl Iskandar dan Sara Mack Lubis.
Apa yang menjadikan drama arahan Yusri Abdul Halim ini lebih mengujakan adakah kerana ia merupakan naskah ketiga terbitan Zurina Ramli bagi Viu Malaysia susulan kejayaan drama bersiri Black dan She Was Pretty.
Ketika ditemui REMAJA di karpet merah acara Viu Upfront 2023 yang dilangsungkan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur minggu ini, salah seorang pelakon utamanya, Hun Haqeem turut tidak dapat menyembunyikan keterujaannya untuk menantikan tayangan Nenek Bongkok Tiga.
“Drama ini bersifat ‘dark’ dan merupakan projek yang cukup menarik serta ‘refreshing’ kerana kita jarang menonton drama Melayu kita berdasarkan fantasi.
“Jadi kali ini kita sajikan kepada penonton sebuah cerita thriller.. horror pun ya juga. Hun harapkan penonton akan suka,” kata pelakon berusia 23 tahun ini.
Kongsi Hun lagi, dia menjayakan watak bernama Zamir dalam Nenek Bongkok Tiga. Sebagai seorang hiker, wataknya itu merupakan seorang yang penuh dengan penyesalan dan belum lagi menyelesaikan masalah-masalah yang pernah dihadapinya pada masa lampau serta selalu berdepan konflik dalaman dengan diri sendiri.
Tak sabar nak nantikan Nenek Bongkok Tiga! Tambahan pula bila melihat foto-foto di sebalik tabir drama ini yang menunjukkan kos produksi tinggi. Tentunya hasilnya juga amat memberansangkan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.