Leftenan Muda Chan Ming Youn menjadi satu-satunya penuntut berbangsa Cina yang berjaya menamatkan Kursus Asas Komando Siri AK/1/2024 selepas menamatkan dan lulus siri latihan yang dijalankan selama 12 minggu.
Berita tersebut dikongsikan oleh Tentera Darat Malaysia (TDM) menerusi hantaran di laman facebook rasmi mereka.
Dalam video itu, dapat dilihat Ming Youn dianugerahkan beret hijau serta pisau komando dalam perbarisan tamat latihan di Pantai Betutu Laut, Sungai Udang, Melaka pada Ahad.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK) merangkap Pengerusi Gerak Khas, Mej Jen Adi Ridzwan Abdullah.
Berusia 25 tahun, jejaka yang berasal dari Setapak Kuala Lumpur ini bukanlah calang-calang orangnya. Dia memiliki pendidikan dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan daripada Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) serta merupakan anggota 515 askar Wataniah.
Saat menyarungkan beret Hijau kepada pemuda itu, Mej Jen Adi Ridzwan sempat bertanya kepada kepada Ming Youn mengapa dia ingin menyertai komando.
Jawapan yang diberikan cukup ringkas oleh pekas penuntut UTAR itu. “I want to serve my country
Panglima,” jawabnya dengan tegas.Dalam temubual bersama media TDM, jejaka tinggi lampai itu berkongsi kepada dia minat untuk bergelar seorang anggota komando.
BACA JUGA: Eain Yow Raih Kejuaraan Skuasy Pertama PSA World Tour Di Terbuka Jerman 2024
“Saya sebelum ini tiada pengetahuan sekalipun tentang komando. Ketika saya mula berkhidmat dalam 515 wataniah, itulah pertama kalinya saya melangkah ke dalam dunia ketenteraan ini.
“Saya mendapat sedikit ilmu dan pengalaman serta pengetahuan tentang dunia ketenteraan. Kemudian saya diperkenalkan kepada dunia komando.
“Jadi saya cabar diri saya untuk masuk komando dan tunjukkan bahawa walaupun saya asalnya seorang anggota wataniah, saya pun boleh jadi seorang komando,” kongsinya panjang.
Ming Youn juga berkongsi yang dia akan terus berkhidmat dan seterusnya menambah pengetahuan dan menambah kursus kepakaran dan terus berkhidmat sebagai seorang ahli komando yang berkualiti.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.