Kemunculan penyanyi kelahiran Korea Selatan, Han Byul di program Big Stage 2022 semalam sebagai jemputan Juri Juara merupakan satu kejutan istimewa memandangkan dia mencapai populariti dalam industri hiburan Malaysia menerusi program nyanyian tersebut.
Biarpun ‘pemurah’ dalam memberikan skor markah kepada 11 orang peserta yang bertanding semalam, Han Byul telah menegur agar mereka semua mengambil pertandingan tersebut secara serius.
Katanya sewaktu sidang media, Big Stage bukanlah satu platform kecil dan ia mampu mengubah kehidupan serta graf seni seseorang penyanyi sebagai seorang yang lebih dikenali.
“Mungkin ada peserta yang merasakan ini bukanlah satu pertandingan untuk mereka ambil secara serius.”
“Bagi saya (sewaktu menyertai dahulu pada tahun 2019), pertandingan ini adalah hidup saya. Banyak risiko yang saya letakkan, so much was on the line. Saya berharap agar mereka semua pun akan mengambil pertandingan ini secara serius. Jangan ambil remeh. You have to put everything in this.
“Tunjukkan potensi anda. Ia telah mengubah hidup saya dan kini ia boleh mengubah hidup anda. Ada masanya ia sukar untuk dilakukan, tapi anda semua perlu ingat kelebihan yang anda akan perolehi,” katanya sambil berharap agar para peserta tidak melupakan pengaruh peminat yang menyokong mereka sepanjang program ini berlangsung.
Dalam pada itu, Lia Aziz diumumkan sebagai peserta kedua meninggalkan Big Stage 2022 setelah dia berada di kedudukan terbawah bersama Megat Rahim dan Sofiaa Mariella. Kutipan undian dari peminat yang rendah telah membuatkan Lia tersingkir semalam.
ARTIKEL BERKAITAN : Undian Rendah Peminat ‘Gagalkan’ Kemaraan Lia Aziz – REMAJA
BACA LAGI : “Pemergiannya Terlalu Baru..” Juri Sebak Kenangkan Arwah Siti Sarah Ketika Persembahan Aisha Retno – REMAJA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.